Mulai 2026, had umur belia di Malaysia adalah 30 tahun
24 November 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Mulai 1 Jan 2026, had umur belia di Malaysia akan diturunkan daripada 40 tahun kepada 30 tahun, mengikut Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602] yang telah ditetapkan tarikh kuat kuasanya oleh kerajaan.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, pindaan akta tersebut juga melibatkan penetapan had umur ketua atau pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun sahaja.
Beliau berkata, tarikh kuat kuasa tersebut adalah berdasarkan hasil perbincangan antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan telah disiarkan di laman sesawang Jabatan Peguam Negara pada 20 Nov 2023.
"KBS perlu melakukan pemakluman pada hari ini kerana semua pihak berkepentingan berkaitan belia perlu cakna akan penguatkuasaan pindaan tersebut, khususnya berkaitan dengan had umur belia," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras di sini, kelmarin.
Tambah beliau, penurunan had umur belia tersebut adalah sejajar dengan Dasar Belia Malaysia dan takrifan umur belia di negara lain yang meletakkan had umur belia di bawah 30 tahun.
"Sebagai contoh Indonesia 16-30 tahun, Filipina 15-30 tahun, Thailand 15-24 tahun, Korea 9-24 tahun, Australia 12-24 tahun," katanya.
Jelas beliau, satu Jawatankuasa Bersama diketuai timbalannya Adam Adli Abd Halim telah ditubuhkan untuk membincangkan program-program transisi dan strategi untuk memperkasa kepimpinan dan meningkatkan keahlian pertubuhan belia daripada golongan belia yang lebih muda.
Katanya, satu kerangka pelan transisi akan disediakan secara perundingan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan pada suku pertama 2024 untuk melancarkan proses transisi itu.
Dalam perkembangan berasingan, Hannah mengumumkan keputusan Jemaah Menteri yang meluluskan pemberian bantuan pentadbiran sebanyak RM5 juta setiap tahun bermula tahun ini kepada MBM dan badan gabungan tertakluk kepada Akta 668 bagi mengukuhkan tadbir urus dan pengoperasian pertubuhan belia.
"Sokongan ini akan membantu MBM dan badan gabungan untuk lebih aktif dalam melaksanakan program-program belia," katanya.
Comments