top of page
  • Wartawan Nabalu News

Mutang Tagal, Lun Bawang pertama dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara


20 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin dari etnik Lun Bawang, Datuk Mutang Tagal, telah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 hari ini, menggantikan Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang kini menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak.


Mutang, 69 bekas Ahli Parlimen Bukit Mas, Sarawak mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed.


Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara memaklumkan bahawa tempoh perkhidmatan Mutang sebagai Ahli Dewan Negara adalah selama tiga tahun, iaitu dari 15 Feb 2024 hingga 14 Feb 2027.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan nama Mutang, yang juga calon tunggal sebagai cadangan nama ahli untuk dipilih pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua Parlimen ke-15 Dewan Negara hari ini.


"Beliau merupakan anak jati negeri Sarawak berasal daripada etnik Lun Bawang. Ini adalah satu pelantikan bersejarah dan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam mengiktiraf dan memastikan suara, pandangan dan perwakilan daripada semua kalangan rakyat, termasuk orang Ulu di Parlimen.


"Beliau adalah seorang pengamal undang-undang dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Rakyat selama dua penggal. Sesungguhnya beliau mempunyai pengalaman yang amat luas,” katanya.


Cadangan Anwar disokong oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.


Mutang, yang memiliki Master of Business Administration (MBA) dari Curtin University, Australia, yang kini aktif dalam perniagaan dan memegang beberapa jawatan penting, antaranya Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu (OUCCI), Penasihat Undang-undang Persatuan Lun Bawang Sarawak dan Naib Presiden, Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF).


Comments


bottom of page