top of page

Indeks Pembangunan Belia Global (YDI) Lonjak Ke Tangga 35

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read


14 Mei 2025


KUALA LUMPUR: Peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Pembangunan Belia Global (YDI) ke tangga ke 35 pada tahun 2023 adalah satu pencapaian yang perlu diberi perhatian.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan laman web Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkata, pencapaian naik 15 anak tangga itu diperolehi dalam tempoh tiga tahun.


Katanya, ia satu peningkatan yang boleh dianggap drastik dalam konteks pembangunan belia global.


“Ini bukan sekadar angka, tetapi simbol kepada usaha berterusan untuk memperkasa belia dalam pelbagai aspek seperti pendidikan, peluang pekerjaan, keterangkuman sosial, dan kesejahteraan.


“Hannah Yeoh, yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan sejak Disember 2022, telah mengambil langkah proaktif dalam memastikan belia Malaysia mendapat sokongan yang diperlukan untuk berkembang dalam dunia yang semakin mencabar,” katanya.


Menurut kenyataan itu, Hannah terbukti sebagai seorang pemimpin yang benar-benar memahami keperluan generasi muda.


“Ini terbukti melalui beberapa inisiatif yang telah diperkenalkan, termasuk program Rakan Muda yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan belia,” katanya.


Sementara itu, Hannah dalam kenyataan di laman sosial facebook miliknya berkata, pada tahun 2024, program Rakan Muda berjaya menarik penyertaan seramai 2.2 juta belia secara fizikal dan 317,000 secara dalam talian.


Katanya, ia menunjukkan betapa pentingnya program ini dalam memberi peluang kepada belia untuk berinteraksi, belajar, dan berkembang dalam persekitaran yang positif.


“Tambahan pula, Sekretariat Rakan Muda IPT (SRM IPT) kini semakin berkembang dengan 119 sekretariat aktif di seluruh negara pada April lalu dengan peningkatan sebanyak 34 peratus berbanding tahun sebelumnya.


“Selain peningkatan keseluruhan dalam ranking, Malaysia turut mencapai prestasi yang cemerlang dalam beberapa domain utama YDI 2023.


“Antaranya dalam aspek Pekerjaan dan Peluang di mana Malaysia menduduki tempat ke lapan dunia dengan skor 0.952. Ia menunjukkan bahawa negara ini menyediakan peluang pekerjaan yang kukuh dan sokongan untuk pembangunan ekonomi belia.


“Bagi aspek Kesamarataan dan Keterangkuman, Malaysia juga berada di tempat ke lapan dunia dengan skor 0.965, dan sekaligus mencerminkan usaha untuk memastikan setiap belia mempunyai akses kepada peluang tanpa mengira latar belakang atau status sosial.


“Selain itu, bagi aspek Keamanan dan Keselamatan, Malaysia berada di tangga ke-14 dunia dengan skor 0.805, menunjukkan persekitaran yang stabil dan selamat untuk golongan muda berkembang,” katanya.


Hannah berkata, segala inisiatif kerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan pelbagai kementerian serta agensi lain adalah selari dengan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 dan Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia.


Katanya, ia termasuk usaha memperkukuh intervensi sosial dan memperkasakan belia untuk menjadi generasi yang lebih berdaya tahan, berdisiplin, dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran global.


“Pendekatan ini bukan saja akan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam YDI pada masa hadapan, tetapi juga membantu membentuk generasi muda yang lebih matang dan bersedia untuk memimpin negara dalam dekad yang akan datang,” tegasnya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page