MyTravelPass dikecualikan untuk pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang
28 Okt 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Warganegara asing pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang di Malaysia dibenarkan masuk ke Malaysia tanpa perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Imigresen Malaysia melalui sistem MyTravelPass (MTP) atau MyEntry dengan syarat mempunyai pas yang masih sah laku.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata ini selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Bilangan 60 Tahun 2021 (Siri 22) yang telah diadakan pada 22 Oktober.
Sehubungan itu, berikut merupakan senarai Pas Lawatan Jangka Panjang yang dibenarkan masuk ke Malaysia tanpa perlu memohon melalui MTP atau MyEntry:
1. Diplomat / Tanggungan / Pembantu Rumah Asing
2. Pas Penggajian (Kategori I,lI, Il') / Tanggungan / Pembantu Rumah Asing
3. Resident Pass-Talent (RP-T) / Tanggungan / Pembantu Rumah Asing
4. Pas Lawatan Ikhtisas - Pakar
5. Pas Lawatan Ikhtisas
6. Pemastautin Tetap (PR) / Pasangan kepada PR / Anak kepada PR
7. Pas Jangka Panjang (Suami / Isteri / Anak) kepada Warganegara
8. Pas Warga Emas
9. Pas Balu / Janda kepada Warganegara
10. Pas Pelajar / Tanggungan / Pengiring
11. Pas Malaysia My Second Home (MM2H) / Tanggungan / Pembantu Rumah Asing
12. Pas Residen
13. Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS)
14. Pembantu Rumah Asing (PRA)
“Warganegara asing seperti berikut yang bukan di bawah kategori yang dinyatakan masih perlu memohon melalui sistem MP atau MYEntry untuk kebenaran masuk ke Malaysia:
Lawatan Sosial
Pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang yang telah tamat tempoh
Permohonan Pas Penggajian (Kategori I,11, lIl) / Resident Pass-Talent (RP.T) / Tanggungan /Pembantu Rumah Asing dan Pas Lawatan Ikhtisas - Pakar yang baru diluluskan; dan
Short Term Business Traveller.
“Arahan ini adalah berkuat kuasa mulai 1 November 2021,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut Indera, prosedur kemasukan semasa ketibaan di Malaysia masih tertakluk kepada peraturan imigresen sedia ada yang masih berkuat kuasa serta prosedur saringan kesihatan dan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Comments