Najib gagal hadir prosiding Mahkamah Rayuan

7 Dis 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menghadiri prosiding kes penyelewengan SRC di Mahkamah Rayuan hari ini.
Menurut laporan Malaysia Kini, panel hakim yang diketuai oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menegur peguam bela, Harvinder Singh Sidhu dan seorang penjamin, Faizal Shamsuddin yang hadir selepas diberitahu mengenai ketidakhadiran Najib.
Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa mahkamah bukan kedai kopi susulan ketidakhadirannya Najib dalam prosiding itu.
“Tarikh perbicaraan hari ini telah pun dimaklumkan, dan penjamin telah dimaklumkan. Kita boleh membatalkan jaminan (RM 2 juta) dan keluarkan waran tangkap atas ketidakhadiran Najib hari ini,” kata Abdul Karim dalam laporan Malaysia Kini.
Hakim turut menegur penjamin, Faizal Shamsuddin kerana tidak dapat menjawab soalan panel hakim mengenai ketiadaan Najib sambil mengingatkan bahawa sebagai penjamin menjadi tanggungjawabnya untuk sentiasa peka terhadap keberadaan tertuduh dan memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.
“Anda sendiri (penjamin) tidak tahu Najib tiada di sini. Anda hanya meneka. Ini bukan kedai kopi, ini mahkamah, jangan main teka-teka sahaja," kata Abdul Karim.
Harvinder meminta agar pendengaran untuk mengemukakan bukti baru yang dijadualkan pada hari ini ditangguhkan dengan alasan bahawa Najib menjadi kontak rapat dengan individu yang positif Covid-19.
Susulan itu, hakim meminta agar alasan Najib merupakan kontak rapat kepada individu positif Covid-19 perlu disertakan dengan bukti fakta dan bukan sekadar penjelasaan lisan.
Najib disabitkan tujuh pertuduhan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dana RM42 juta SRC International.
Beliau bagaimanapun membuat rayuan atas sabitan pertuduhan dan hukumannya dan dibenarkan penangguhan hukuman sehingga rayuannya selesai.
Mahkamah Rayuan menetapkan penyampaian keputusan esok bagi membatalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berhubung kes tersebut menerusi perbicaraan secara zoom meeting pada pukul 12.30 tengah hari.
Comments