top of page
  • Wartawan Nabalu News

NCA tidak pernah dibentangkan dan diluluskan dalam DUN – Shafie


Datuk Seri Shafie Apdal

4 Februari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ketua Pembangkang Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal berkata kenyataan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah bahawa Nature Conservation Agreement (NCA) telah pun dibentangkan dan diluluskan pelaksanaannya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah seperti yang dilaporkan media antarabangsa adalah tidak benar.


Artikel yang bertajuk "Very hush-hush: Borneo's $80bn carbon deal stokes controversy" telah disiarkan oleh Al Jazeera pada 2 Februari.


Shafie berkata, kenyataan tersebut tidak benar dan mengelirukan rakyat Sabah serta masyarakat antarabangsa.


Beliau pada 6 Disember tahun lalu juga telah mempersoalkan kewajaran Kerajaan Negeri Sabah menandatangani perjanjian ini yang dilihat sebagai berat sebelah dan tidak memberi kepentingan yang jelas kepada rakyat dan negeri Sabah.


“Pertamanya, tempoh durasi perjanjian adalah selama 100 tahun dan ini menyebabkan dua juta hektar hutan negeri Sabah diserahkan kepada syarikat asing yang berpengkalan di Singapura.


“Keduanya, tindakan Kerajaan Negeri yang tidak membuat konsultasi umum sebelum memasuki Perjanjian ini juga dipersoal. Ketiganya, saya juga telah membangkitkan kredibiliti pihak yang memasuki Perjanjian ini dengan Kerajaan Negeri Sabah. Ini adalah kerana mengikut semakan, syarikat ini tidak pernah mengendalikan apa-apa perniagaan dalam industri karbon kredit,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.


Shafie yang juga bekas Ketua Menteri Sabah menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh membuatkan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri, termasuk dari blok pembangkang, menanggung liabiliti Perjanjian berat sebelah ini.


“Lebih memalukan apabila penyiasatan yang dilakukan oleh Al Jazeera telah mendedahkan beberapa percanggahan fakta yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri tersebut, sebagaimana berikut:


(i) Kenyataan beliau bahawa syarikat yang memasuki perjanjian NCA dengan Kerajaan Sabah, Hock Standard adalah sebuah syarikat yang mendapat sokongan daripada Temasek Holding, syarikat pelaburan nasional Singapura. Namun wakil Temasek bila dihubungi Al Jazeera telah menidakkan perkara tersebut.


(ii) Peranan Dr Ho Choon Hou, yang disebut sebagai pengarah syarikat Hock Standard, walhal rekod awam Kerajaan Singapura menunjukkan bahawa pengarah syarikat adalah Benjamin Ng, seorang rakyat Singapura yang disebut dalam Pandora Papers. Manakala pemegang saham pula adalah sebuah shell company yang didaftarkan di British Virgin Island.”



“Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian ialah cadangan keuntungan 30 peratus yang akan syarikat Hock Standard perolehi. Ini bersamaan dengan RM100 juta yang akan didapati sepanjang tempoh Perjanjian dan ia menguntungkan sebuah syarikat asing yang berpengkalan di Singapura.


“Lebih merisaukan bila mana syarikat ini tidak pernah menjalankan perniagaan karbon kredit sebelum ini. Tiadakah syarikat tempatan yang layak untuk menjalankan perniagaan ini bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah?” soalnya.


Presiden Warisan itu menyarankan mana-mana wakil Kerajaan Negeri untuk menolak dari menjadi broker atau orang tengah dalam mana-mana Perjanjian Antarabangsa yang diragui kesahihannya bagi mengelak Perjanjian NCA bertukar menjadi suatu skandal yang boleh merosakkan imej Malaysia di mata dunia.


Beliau juga menyarankan agar Kerajaan Negeri Sabah membatalkan Perjanjian NCA ini dengan serta merta.


“Ketika Warisan memerintah pada tahun 2018, Kerajaan Negeri Sabah telah membekukan kesemua lesen import balak. Saya sebagai Ketua Menteri pada ketika itu juga telah menyerahkan beribu-ribu hektar tanah kepada orang Asal di negeri Sabah sekaligus mengakhiri penantian mereka sejak berpuluh tahun.


“Namun, Kerajaan Negeri pada masa kini pula bertindak mencagarkan tanah negeri ini selama 100 tahun kepada syarikat asing. Turut dibimbangkan apabila Kerajaan Negeri tidak boleh mengesahkan latar belakang dan keupayaan mereka untuk menjaga hasil bumi negeri ini.


“Untuk rekod, Warisan tidak menolak sebarang usaha untuk mengekalkan khazanah bumi Sabah dan digunakan bagi tujuan perusahaan karbon kredit. Perusahaan ini telah dijalankan di seluruh dunia di mana model perniagaannya adalah berdasarkan penjualan karbon dan bukannya pencagaran tanah hutan.


“Warisan boleh menyokong usaha pengekalan rizab hasil bumi negeri Sabah melalui penjualan karbon kredit namun perlulah dilakukan dengan penuh terbuka, berintegriti dan mengambil kira kepentingan Orang Asal dan peribumi,” tegasnya.


Sebagai alternatif, Shafie menyarankan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan strategi ‘carbon capture, utilisation dan storage (CCUS)’ yang boleh dipraktikkan di Sabah sebagaimana yang telah dilakukan di seluruh dunia.


“Ini bagi mengimbangi usaha ‘decarbonisation’ oleh syarikat-syarikat gergasi dan menangani isu perubahan iklim,” jelasnya.


Comments


bottom of page