top of page

Nelayan Sabah nikmati 10 juta liter diesel sebulan tahun depan

  • nabalunews
  • 22 hours ago
  • 2 min read

ree

17 Disember 2025


KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan subsidi minyak diesel sebanyak 10 juta liter sebulan kepada 1,455 nelayan di seluruh Sabah bermula 2026.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pelaksanaan subsidi berkenaan adalah selaras dengan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan yang telah diperkenalkan sejak 2006.


“Bagi Sabah, seramai 1,455 pemilik vesel menerima subsidi diesel berjumlah 86.6 juta liter bernilai RM116.5 juta pada 2025.


“Manakala pada 2026, peruntukan sebanyak 10 juta liter sebulan akan diberikan yang akan memberi manfaat kepada kumpulan nelayan yang sama,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.


Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Bobbey Suan yang ingin tahu nilai keseluruhan subsidi minyak diesel yang diperuntukkan kepada nelayan Sabah bagi tahun 2026.


Mengulas lanjut, Mohamad berkata Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan diteruskan sebagai sebagai sebahagian daripada pendekatan penyasaran subsidi, bagi memastikan kebajikan nelayan terus terpelihara serta menjamin keterjaminan bekalan makanan negara.


“Bagi memastikan subsidi ini diterima nelayan yang benar-benar layak, pelaksanaan adalah berdasarkan kuota penggunaan minyak yang ditetapkan serta tuntutan penggunaan sebenar yang disahkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” ujarnya.


Sementara itu, menjawab soalan tambahan Bobbey berhubung mekanisme kawalan menangani isu penyalahgunaan, Mohamad memaklumkan penyaluran subsidi diesel nelayan akan beralih secara berperingkat daripada penggunaan kad pengenalan (IC) kepada aplikasi mudah alih.


Menurut beliau, usaha kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu bertujuan memastikan hanya nelayan yang layak menerima subsidi tersebut, selain mengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan.


''Bagi mereka yang mengambil minyak, wajah penerima akan dicatat melalui telefon. Langkah ini sedang dilaksanakan di Tumpat dan Tawau.


"Namun, bagi kawasan pendalaman seperti jeti di kawasan bakau yang tiada talian internet, kaedah lama masih digunakan dan pihak LKIM sedang berusaha memperkenalkan sistem baharu ini melalui aplikasi," katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page