Netizen kecewa tindakan BAM terhadap Lee Zii Jia
- Wartawan Nabalu News
- Jan 22, 2022
- 2 min read

22 Januari 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk tidak mendaftarkan Lee Zii Jia dalam mana-mana pertandingan antarabangsa bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa pada 18 Januari mencetuskan pelbagai reaksi dari banyak pihak.
Susulan keputusan BAM yang diumumkan kelmarin, rata-rata netizen meluahkan rasa simpati dan kecewa mereka terhadap tindakan BAM di media sosial serta menggesa untuk tidak menghalang Zii Jia dari bertanding.
“Sangat kecewa, #WeStandWithLZJ.
“Dah terang-terang Lee Zii Jia satu-satunya harapan yang kita ada buat masa ini bagi perseorangan lelaki. Dan ini tindakan BAM!! Apa alternatif BAM ada untuk menggantikan tempat Lee Zii Jia?,” kata seorang netizen.
Seorang lagi netizen berkata: “Satu kerugian pada negara! BAM untung kat mana dengan tindakan sebegini? Sepatutnya siasat cari punca kenapa ramai pemain angkat kaki dari BAM!
“Lee Zii Jia hanya mahu menjadi pemain bebas bukan penjenayah. BAM sepatutnya membiarkan sahaja LZJ mencari rentaknya kembali sendiri dan tidak melarangnya untuk bermain selama 2 tahun. Ini suatu pembaziran bakat,’ kata netizen.
Keputusan BAM turut mendapat perhatian daripada pemain badminton nombor satu dunia, Viktor Axelsen.
Juara Olimpik 2020 itu, menunjukkan sokongannya terhadap Zii Jia dalam ciapan Twitternya susulan keputusan BAM terhadap Zii Jia diumumkan.
Menurutnya, kes dihadapi Zii Jia seperti seorang pekerja yang tidak berpuas hati dan meletak jawatan, namun kemudian dilarang oleh majikan daripada bekerja di tempat lain.
"Dengar saja betapa gilanya. Ini tahun 2022. Adakah ini yang kita mahukan untuk sukan kita," katanya.
Manakala Ahli Parlimen Bukit Mertajam (DAP) Steven Sim berpendapat bahawa keputusan BAM terhadap Zii Jia itu begitu drastik dan tiada sebarang sebab munasabah diberikan oleh pihak BAM untuk mengenakan ‘hukuman’ sedemikian.
“Adakah tindakan ini sebagai amaran kepada pemain untuk "patuh arahan"?
“Sepatutnya kena cari penyelesaian damai untukk elak pemain keluar BAM. Semangat sukan ialah pendamaian bukan penindasan,” katanya dalam ciapan Twitternya.
Selepas BAM mengumumkan untuk menggantung Zii Jia dari menyertai mana-mana kejohanan selama dua tahun, pemain ranking ketujuh dunia itu menukar gambar profil Facebooknya kepada warna hitam, kelmarin.
Sehingga kini, gambar profil tersebut menerima lebih 58,000 tanda suka, dikongsi hampir 4,000 pengguna dan menerima lebih 8,000 komen.
Comentarios