top of page
  • Farah Salim

Netizen persoal kos selenggara Istana Negara



2 Jun 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Laporan berita sebuah portal mengenai kos penyelenggaraan Istana Negara bernilai ratusan juta mendapat pelbagai komen para netizen di media sosial.


Mereka menyuarakan pendapat selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia mengeluarkan maklum balas mengenai artikel World Of Buzz bertajuk ‘Malaysians outraged to find that ministry of work is paying RM519 million to maintain Istana Negara’, yang diterbitkan pada 31 Mei baru-baru ini.


Kebanyakan netizen berpendapat kos penyelenggaraan itu satu pembaziran dan tidak memberi manfaat kepada rakyat.


Menurut mereka, kos itu melebihi kos baikpulih hospital, klinik, sekolah dan lain-lain bangunan awam yang jelas diperlukan oleh rakyat.


“Sekolah-sekolah, hospital kerajaan, klinik kesihatan pun bangunan peringkat kebangsaan dan banyak yang usang, tak (tidak) pula disalurkann dana penyelenggaraan sebanyak itu,” kata seorang netizen melalui Twitternya.


Antara komen netizen di Twitter.

Selain itu terdapat juga netizen menyatakan daripada jumlah keseluruhan kos itu, jika pengiraannya setiap hari boleh membiayai pembelian rumah kos rendah untuk keluarga yang memerlukan.


“Bersamaan dengan RM203,000 sehari. Jumlah itu boleh beli rumah kos rendah kepada lebih dari 2,500 keluarga. Ini adalah sangat tidak masuk akal dan tidak prihatin terhadap rakyat,” katanya.


Bagaimanapun ada juga netizen yang bersetuju dengan kos penyelenggaraan itu dan menyatakan bahawa orang luar yang datang ke negara ini terlebih dahulu akan melawat Istana Negara sebab itu bangunan itu perlu diselenggarakan.



Sementara itu Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia menjelaskan bahawa kos itu adalah kontrak semasa selama tujuh tahun yang akan berakhir pada 30 Jun 2022.


Menurut kenyataan media JKR, skop kontrak adalah meliputi kawasan seluas 241.3 ekar, merangkumi tiga komponen utama iaitu Komponen Formal (Balairong seri, Dewan Bankuet, Bilik Mesyuarat Majlis Raja-Raja), Komponen Diraja (Kamar Peraduan, Kamar Santapan, Bilik Tetamu Diraja) dan Komponen Pentadbiran (Pejabat Pentadbiran dan Keselamatan, Surau, bangunan sokongan dan lain-lain) dengan keseluruhan keluasan lantai kasar sebanyak 89,525 meter persegi.


JKR menegaskan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan yang dilaksanakan adalah berpandukan kepada Garis Panduan Penyelenggaraan Berjadual Bangunan Kerajaan (versi 2008) yang ditetapkan oleh JKR . Kos yang diiterbitkan daripada senarai kuantiti adalah berasaskan kepada keperluan pengoperasian.


“Segala kemudahan/ fasiliti di premis tersebut perlu sentiasa dikekalkan dalam keadaan terbaik, sesuai dengan kedudukan premis berkenaan sebagai bangunan peringkat kebangsaan yang melambangkan kedaulatan, identity, kebudayaan dan imej negara,” menurut kenyataan media JKR Malaysia yang dikeluarkan, kelmarin.

留言


bottom of page