top of page

Noraini tidak sesuai dilantik semula menteri KPT: KMUM

Wartawan Nabalu News

Noraini Ahmad

30 Ogos 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KUALA LUMPUR: Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menggesa supaya pelantikan baharu bagi Menteri Pengajian Tinggi (KPT) daripada mereka yang benar-benar mempunyai wawasan dan sedia berkhidmat untuk kepentingan mahasiswa. Menurut kenyataan media KMUM, ini penting untuk masa depan mahasiswa dan mahasiswi negara. “Pihak KMUM ingin menggesa supaya pelantikan baharu bagi Menteri Pengajian Tinggi yang boleh dianggap sebagai portfolio kritikal dan penting dipilih daripada mereka yang benar-benar mempunyai wawasan dan sedia berkhidmat untuk kepentingan mahasiswa. “Jawatan ini tidak seharusnya diberikan begitu sahaja sebagai pemenuh kerusi buat ahli politik semata-mata. Ini kerana seseorang menteri yang akan berkhidmat untuk kebajikan mahasiswa perlulah mempunyai wawasan, mampu merangka pelan kontingensi dan peka terhadap kebajikan mahasiswa. Mahasiswa seharusnya menjadi keutamaan buat Menteri Pengajian Tinggi,” kata kenyataan itu. Menurut kenyataan itu, kegagalan menteri berkenaan dalam menjalankan tugas sewaktu beliau memegang jawatan dalam kerajaan yang lepas telah membuktikan bahawa beliau tidak sesuai untuk memegang jawatan ini dan tidak mampu untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Menteri Pengajian Tinggi. Perdana Menteri ke-9 Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob melantik semula Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi. Ismail Sabri dipetik sebagai berkata, bahawa penglibatan anak muda amat dihargai untuk menjayakan agenda besar pemulihan negara. Namun menurut KMUM, pelantikan semula Noraini tidak menunjukkan langkah terhadap pencapaian visi tersebut, malah boleh dikatakan sebagai suatu langkah yang ironi bagi pengurusan institusi Pendidikan Tinggi dimana pelbagai masalah dan kegagalan telah timbul sewaktu tempoh beliau berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi. “Di bawah merupakan beberapa kegagalan beliau sewaktu memegang jawatan tersebut sebelum ini: a) Pada bulan Oktober yang lepas, kebanyakan mahasiswa ambilan baharu telah mengalami masalah untuk pulang ke kampung halaman masing-masing apabila pengumuman penangguhan pendaftaran secara bersemuka diumumkan sehari sebelum pendaftaran di kampus berlaku. Ini merupakan suatu permasalahan apabila pengumuman ini dibuat seolah tidak mengambil kira kebanyakan mahasiswa dari negeri lain yang hadir ke kampus untuk mendaftar tidak dapat menetap di kolej. Tambahan pula, kos untuk pulang ke kediaman masing-masing terpaksa ditanggung oleh mereka sendiri. b) Pihak KPT masih belum menyelesaikan tuntutan KMUM mengenai kos ujian calitan RT-PCR yang perlu ditanggung sendiri oleh mahasiswa Sabah dan Sarawak akibat daripada kegagalan pihak KPT untuk merancang pergerakan pulang mahasiswa ke kampung halaman mereka dengan sebetulnya. c) Pihak KMUM sedia maklum bahawa halangan-halangan yang termaktub di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) telah memberi beberapa kekangan daripada pelbagai sudut buat mahasiswa. Kekangan dari segi autonomi kewangan di mana wujudnya karenah birokrasi pentadbiran universiti dan halangan bagi para mahasiswa dan mahasiswi untuk bebas bersuara masih lagi wujud walaupun dilihat kini tidak lagi relevan. Oleh itu, kegagalan beliau dalam menggerakkan usaha untuk memansuhkan AUKU telah menunjukkan bahawa pihak Kerajaan sepertinya gagal dan tidak berminat untuk membudayakan pemikiran secara kritis dan demokratik yang merupakan akar kepada kemajuan masyarakat serta negara. Selaras dengan isu-isu yang telah dikemukakan, KMUM berkata, timbul keraguan dalam kalangan mahasiswa terhadap pelantikan semula YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan prinsip yang dipegang apabila beliau telah meletakkan jawatan sewaktu era pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Yassin. “Kemampuan dalam arena politik tidak bermakna seseorang itu kompeten di dalam menguruskan hal ehwal kebajikan dan memperjuangkan kepentingan masyarakat mahasiswa,” kata kenyataan itu.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page