Olimpik Paris 2024 : Aaron-Wooi Yik naib juara kumpulan A, tewas kepada pasangan China
- nabalunews
- Jul 30, 2024
- 1 min read

30 Julai 2024
PARIS : Tembok Besar China tampak sukar untuk dirobohkan oleh beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang terpaksa akur sebagai naib juara kumpulan A selepas ditumbangkan oleh pasangan nombor 1 dunia dari China Liang Wei Keng-Wang Chang straight set 22-24,14-21 di pentas Olimpik Paris 2024.
Dalam aksi di Porte de La Chapelle Arena itu, pasangan China terbabit mempamerkan aksi lebih menyakinkan dengan mengawal gelanggang untuk mengutip mata demi mata.
Malah, kesilapan mudah pasangan negara itu pada set pertama membolehkan wakil China itu meninggalkan jauh Aaron-Wooi Yik hingga kedudukan 20-15.
Namun, pasangan negara yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 mempamerkan kebangkitan luar biasa hingga berjaya mengikat pasangan China itu 20-20 pada satu ketika sebelum terpaksa akur tumpas set pertama 22-24.
Bersambung set kedua, menyaksikan Aaron-Wooi yang berada di ranking kelima dunia gagal mengekalkan rentak cemerlang pada awal permainan apabila sering melakukan kesilapan mudah sebelum tumpas kepada lawan 14-21.
Walaupun pasangan negara tewas kepada wakil China namun Aaron-Wooi Yik sudah layak untuk beraksi di pentas suku akhir Olimpik Paris 2024 kerana mengakhiri saingan kumpulan A di tempat kedua manakala wakil China itu dinobatkan sebagai juara.
Beregu negara itu memulakan kempen dengan menewaskan beregu nombor 18 dunia dari Great Britain Ben Lane-Sean Vendy 19-21, 21-16, 21-11 pada Sabtu sebelum mengesahkan tiket suku akhir dengan menyingkirkan wakil Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura 21-10, 21-15 semalam.
留言