Olimpik Paris 2024 : Keselamatan kontinjen Malaysia sentiasa diutamakan - Hamidin
- nabalunews
- Jul 29, 2024
- 2 min read

29 Julai 2024
PARIS: Ketua kontinjen Malaysia ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin memberi jaminan keselamatan setiap anggota kontinjen negara diutamakan sepanjang cabaran memburu emas di Perancis di saat negara tuan rumah sedang berdepan ancaman keselamatan dari pelbagai sudut.
Hamidin menegaskan bahawa Sekretariat Kontinjen dalam Perkampungan Atlet di St Ouen-sur-Seine sentiasa mengemaskini maklumat keselamatan.
Selain itu, kontinjen Malaysia di Paris juga sentiasa mendapatkan nasihat dan maklumat terkini daripada Kedutaan Malaysia di Paris berhubung langkah berjaga-jaga di sekitar lokasi strategik dan venue pertandingan serta latihan.
"Sebagai ketua kontinjen Malaysia, saya mengingatkan sekretariat untuk mendapatkan nasihat dan maklumat terkini berhubung langkah-langkah berjaga yang dilaksanakan oleh pihak penganjur. Maklumat yang dikumpul adalah penting untuk pengurusan keselamatan kontinjen yang teratur dan terjamin.
"Di pihak kami, kami menasihatkan supaya semua atlet dan jurulatih mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang termaktub dari segi penggunaan pengangkutan, pergerakan dalam dan di luar perkampungan sukan serta sekitar venue latihan dan pertandingan.
"Walaupun saya dapati pihak keselamatan Perancis mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengepung dan menutup laluan sekitar venue pertandingan daripada dilalui kenderaan serta menutup beberapa laluan pejalan kaki di stesen keretapi bawah tanah Metro, saya menasihatkan setiap anggota kontinjen sama ada atlet, jurulatih dan pegawai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan hadkan pergerakan mereka," kata Hamidin dalam satu kenyataan.
Hamidin mengulas laporan media bahawa pusat media utama (MPC) di Palais de Congres di tengah kota Paris ditutup sementara apabila pihak keselamatan Perancis menerima ancaman bom.
Selain 26 atlet dan 40 pegawai yang membentuk kontinjen Malaysia, seramai 25 pengamal media dari Malaysia terdiri daripada petugas agensi berita nasional, stesen televisyen yang juga pemegang hak siaran serta petugas media kontinjen dan organisasi berita antarabangsa sedang bertugas di Paris.
Dianggarkan 1,300 petugas media dari seluruh dunia berkampung di Perancis untuk membuat liputan temasya sukan paling berprestij dan terbesar dunia itu.
Penganjur Olimpik Paris 2024 menyediakan perkampungan media di Dugny in Seine‑Saint‑Denis di pinggir Paris.
"Kami juga maklum senarai anggota media yang menginap di tujuh hotel berbeza dan mereka turut mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mengemas kini maklumat penganjuran menerusi pelbagai aplikasi dan laman web rasmi Paris 2024 setiap kali mereka keluar membuat liputan.
"Pada masa yang sama, kami mengharapkan rakyat Malaysia sentiasa menghulurkan doa buat kontinjen negara dan semua pemegang taruh yang berada di Paris supaya kami diselamatkan daripada sebarang bencana serta membawa pulang pingat emas untuk Malaysia," kata Hamidin.
Comments