Olimpik Paris 2024 : Pearly-Thinaah hidupkan peluang ke suku akhir
28 Julai 2024
KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah kembali menghidupkan peluang untuk melangkah ke suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menewaskan pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dalam aksi kedua Kumpulan A, yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena.
Pasangan ranking ke-13 dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan gandingan Jepun yang menduduki ranking nombor 6 dunia itu 18-21, 21-15, 21-16 dalam tempoh 77 minit.
Kemenangan itu membuka kembali pintu buat Pearly-Thinaah untuk bersaing merebut kedudukan dua tempat teratas kumpulan sekali gus melangkah ke suku akhir.
Semalam, Pearly-Thinaah yang memenangi pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 tewas dalam aksi pertama kumpulan menentang gandingan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 17-21, 20-22.
Pearly-Thinaah akan berdepan gandingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti pada aksi terakhir kumpulan, Selasa ini dan mereka perlu menang untuk berpeluang ke kelompok lapan terbaik.
Opmerkingen