Olimpik Paris 2024: Pearly - Thinaah mara ke suku akhir badminton

30 Julai 2024
PARIS: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mengesahkan tiket ke suku akhir Sukan Olimpik Paris selepas menewaskan gandingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dalam aksi terakhir badminton Kumpulan A di Porte de la Chapelle Arena. Pasangan ranking ke-13 dunia itu cemerlang apabila melakar kemenangan straight set 21-18, 21-9 ke atas lawan dari Indonesia itu.
Keputusan itu membolehkan Pearly-Thinaah melangkah ke kelompok lapan terbaik selaku naib juara kumpulan, di belakang pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan yang merekodkan kemenangan dalam ketiga-tiga perlawanan.
Pearly-Thinaah pula hanya tewas di tangan Qing Chen-Yi Fan dalam aksi pertama sebelum menundukkan pasangan nombor enam dunia dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara, kelmarin dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia.
Lebih membanggakan, bekas juara Terbuka Perancis itu menjadi beregu wanita kedua negara yang berjaya melangkah ke suku akhir di pentas Sukan Olimpik selepas gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada Sukan Olimpik
2016 di Rio de Janeiro.
Undian suku akhir beregu wanita dijadual diadakan selepas tamat semua aksi peringkat kumpulan, awal pagi esok.
Comments