Olimpik Paris 2024: Zii Jia tepati ramalan, mara ke peringkat 16 terbaik

31 Julai 2024
PARIS: Pemain profesional badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia seperti diramalkan, dengan mudah melepasi peringkat kumpulan Olimpik Paris 2024 untuk layak ke pusingan kalah mati di Porte de La Chapelle Arena, hari ini.
Juara All England 2021 itu menewaskan pemain ke-62 dunia dari Sepanyol, Pablo Abian, 21-10, 21-13 dalam masa 34 minit pada perlawanan Kumpulan G untuk layak ke pusingan 16 terakhir.
Dalam aksi berkenaan, pemain negara berusia 26 tahun itu menguasai penuh permainan di set pertama biarpun beberapa kali pukulan ke belakang tersasar.
Bagaimanapun, pada set kedua menyaksikan Abian memberi tentangan sengit hingga mendahului 10-8 pada satu ketika.
Zii Jia yang kini menghuni tangga ketujuh dunia bangkit dengan aksi lebih kemas untuk menamatkan perlawanan dengan 21-13 di set kedua.
Sebelum ini, juara All England 2021 itu mudah menewaskan pemain Sri Lanka, Viren Nettasinghe dalam aksi pertama kumpulan, tiga hari lalu.
Dia mencatat kemenangan 21-14, 21-12 ke atas Nettasinghe itu.
Mengikut format pertandingan, hanya juara kumpulan dalam acara perseorangan mendapat tiket pusingan 16 terakhir.
Comments