- nabalunews
Olimpik Paris: Aaron-Wooi Yik mampu bawa balik pingat emas – Razif
24 Julai 2024
KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara Datuk Razif Sidek berkata andai Aaron Chia-Soh Wooi Yik melepasi saingan separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024, ia memberi bayangan kemungkinan besar Malaysia akan menamatkan penantian pingat emas pertama di temasya berprestij itu.
Menurut Razif, halangan sebenar beregu utama negara Aaron-Wooi Yik di Sukan Olimpik Paris 2024 adalah apabila bakal berdepan tiga pasangan terbaik dunia di separuh akhir.
Bagi Razif, beregu negara yang menghuni ranking keempat dunia itu tidak menghadapi masalah melepasi saingan peringkat Kumpulan A walaupun pilihan utama dari China Liang Wei Keng-Wang Chang dijangka menjadi halangan terbesar mereka.
“Pada pandangan saya, mereka pasangan tunggal yang boleh bawa pingat untuk negara.
“Saya lihat laluan mereka ke suku akhir tiada masalah. Jika tiada halangan saya rasa Aaron-Wooi Yik boleh bawa balik emas namun ia bergantung kepada keputusan di separuh akhir,” katanya kepada Bernama hari ini.
Menurut Razif, jika juara dunia 2022 itu berjaya menempah tiket separuh akhir, selain Wei Keng-Wang Chang, dua lagi beregu di ranking utama dunia akan menanti iaitu Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India dan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia) sebelum berada dalam pertarungan sebenar perburuan pingat emas.
Katanya apabila keempat-empat pasangan itu turun di gelanggang Porte de la Chapelle Arena, ia pastinya akan menghangatkan lagi aksi separuh akhir acara badminton di Paris 2024.
Berdasarkan rekod pasangan negara, Aaron-Wooi Yik pernah mencatat dua kemenangan berdepan wakil China, menang lapan daripada 11 pertemuan dengan Satwiksairaj-Chirag dan empat kemenangan daripada lapan perlawanan berdepan Fajar-Muhammad Rian.
Sebagai rekod, Razif muncul atlet pertama negara meraih pingat di Sukan Olimpik bersama adiknya Datuk Jalani Sidek di Barcelona 1992.
Mereka meraih pingat gangsa selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan Kim Moon Soo - Park Joo Bong 11-15, 13-15 pada saingan separuh akhir.
“Dari segi cara permainan saya rasa tidak menjadi masalah cuma kekurangan mereka adalah kecergasan. Jika dapat mengekalkan tahap kecergasan yang tinggi, darjah keyakinan mereka juga akan meningkat,” katanya.
Aaron-Wooi Yik diundi dalam Kumpulan A bersama Wei Keng-Wang Chang, Ben Lane-Sean Vendy (England) dan Adam Dong-Nyl Yakura (Kanada).
Berdasarkan format perlawanan, hanya juara dan naib juara kumpulan layak ke suku akhir.
Sukan Olimpik Paris 2024 akan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos.
Comments