- nabalunews
Olimpik Paris: Johnathan kandas di pusingan kelayakan acara 10 meter air pistol
27 Julai 2024
KUALA LUMPUR: Impian penembak lelaki negara, Johnathan Wong untuk melangkah ke final acara 10 meter (m) air pistol di Sukan Olimpik Paris tidak kesampaian apabila terkandas di pusingan kelayakan.
Pada aksi di Lapang Sasar Chateauroux itu, Johnathan, 31, terpaksa akur apabila sekadar menamatkan saingan pusingan kelayakan di tempat ke-26 daripada 33 peserta dengan catatan 570 mata.
Mengikut format pertandingan, hanya lapan peserta terbaik layak ke pentas final yang dijadual berlangsung, esok.
Aksi pusingan kelayakan diungguli penembak Serbia, Damir Mikec yang mencatat 584 mata diikuti Federico Nilo Maldini dari Itali dengan 581 mata di tempat kedua manakala atlet Jerman, Christian Reitz ketiga (580 mata).
Kegagalan itu menyaksikan Johnathan gagal untuk memperbaiki pencapaian pada penampilan pertamanya di Olimpik Rio 2016 apabila dia turut terkandas di pusingan kelayakan.
Ketika itu dia menamatkan saingan di tempat ke-28 dengan catatan 574 mata.
Johnathan mengakui kecewa dengan prestasinya kerana merasakan dia mampu membidik mata lebih tinggi berbanding yang direkodkannya, hari ini.
"Kalau tengok catatan mata, memang agak kurang memuaskan. Kami datang ke sini dengan sasaran lebih tinggi daripada itu.
"Kalau kita tengok catatan mata penembak dalam kelompok lapan terbaik pun tidak terlalu tinggi. Jadi, saya agak kecewa dengan keputusan ini," katanya.
Menambahkan lagi kekecewaannya, Johnathan, berkata dia merasakan dirinya sudah melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi Olimpik Paris kali ini, lebih baik berbanding ketika penampilan sulungnya di Rio, lapan tahun lalu.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokog saya terutama jurulatih (Firdaus Abdul Rahim) dan ISN (Institut Sukan Negara) dan MSN (Majlis Sukan Negara).
"Persiapan kali ini sememangnya lebih baik berbanding kali pertama saya bertanding di Olimpik sebelum ini tetapi bukan rezeki saya," katanya.
Kommentarer