ONSA bantu kekang penyebaran kandungan berbahaya, jenayah siber - KPN
- nabalunews
- Jan 1
- 1 min read

1 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) merupakan langkah penting memastikan platform digital bertanggungjawab mengekang penyebaran kandungan berbahaya.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, ONSA juga dapat menutup ruang operasi penjenayah siber serta memperkukuh tindakan terhadap eksploitasi kanak-kanak, penipuan dalam talian, penyalahgunaan identiti dan kandungan ekstremisme.
Menurut beliau, berdasarkan rekod Polis diraja Malaysia (PDRM), rakyat Malaysia menanggung kerugian sebanyak RM2.77 bilion akibat jenayah penipuan dalam talian bagi tempoh Januari 2023 hingga November 2025.
"Kes eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian turut menunjukkan peningkatan membimbangkan, dengan 688 kes dicatatkan dari Januari 2021 hingga November 2025.
"Selain itu, kes berkaitan Child Sexual Abuse Material (CSAM) merekodkan sebanyak 351 kes dari Januari 2021 hingga Oktober 2025," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohd Khalid, ONSA selaras dengan komitmen untuk melindungi rakyat dan memastikan mereka selamat dalam persekitaran siber masa hadapan.
Mengulas lanjus, beliau berkata, pihaknya menyokong penuh pelaksanaan ONSA yang disifatkan sebagai kerangka perundangan baharu bagi memperkukuh keselamatan pengguna serta meningkatkan tanggungjawab platform digital dalam melindungi rakyat daripada ancaman siber.
Menurutnya, PDRM akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kementerian berkaitan serta penyedia platform digital melalui pendekatan whole-of -government bagi memastikan tindakan terhadap jenayah siber dilaksanakan dengan lebih pantas, tersusun serta berkesan.
"PDRM terus komited memperkukuh kesiapsiagaan dalaman melalui peningkatan keupayaan pemantauan digital, penambahbaikan proses siasatan serta pengukuhan perkongsian maklumat strategik tanpa mendedahkan butiran operasi yang boleh menjejaskan keselamatan.
"PDRM yakin ONSA akan memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan integriti ruang digital, dan memastikan keselamatan generasi muda dalam menghadapi landskap siber yang kompleks," katanya.


















Comments