PAKATAN HARAPAN MAHU PM PANGGIL SIDANG PARLIMEN SEAWAL MAC INIPAKATAN HARAPAN MAHU PM PANGGIL SIDANG PARLIMEN SEAWAL MAC INI
top of page
  • nabalunews

PAKATAN HARAPAN MAHU PM PANGGIL SIDANG PARLIMEN SEAWAL MAC INI




24 Feb 2021


KOTA KINABALU: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan segera menasihati Seri Paduka Baginda untuk memanggil sidang Parlimen seawal Mac depan.


Gesaan itu dinyatakan dalam kenyataan bersama tiga pemimpin parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Hj.Mohamad Sabu, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).


"Ini selaras dengan apa yang termaktub dalam sub perenggan 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

"Ini juga merupakan pendirian Pakatan Harapan serta majoriti Ahli-Ahli Parlimen, bahawa pada ketika Eksekutif dan Kehakiman boleh berfungsi sewaktu darurat berkuatkuasa, Parlimen juga perlu terus memainkan peranan dalam memastikan urustadbir kerajaan terjaga dan proses semak imbang diteruskan.


"Oleh itu kami mendukung penuh hasrat Seri Paduka Baginda untuk memulihkan kedudukan Parlimen memainkan peranan penting dalam Perlembagaan Malaysia, mengetengahkan isu-isu serta masalah yang dihadapi rakyat dalam usaha membendung pandemik Covid-19 serta merencana langkah-langkah bagi menghidupkan semula ekonomi negara," menurut kenyataan itu, di sini, hari ini.


Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri perlu menjunjung titah dan segera menasihati Seri Paduka Baginda untuk memanggil sidang Parlimen seawal bulan Mac seperti diperkenan Tuanku di dalam Takwim Parlimen sebelum ini.


bottom of page