top of page

Paracetamol ketika hamil, vaksin bukan punca autisme – KKM

  • nabalunews
  • Sep 26
  • 2 min read

ree

26 September 2025


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menolak dakwaan bahawa pengambilan paracetamol ketika hamil dan pemberian vaksin kanak-kanak menjadi punca autisme.


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan tiada bukti saintifik yang mengaitkan penggunaan paracetamol semasa hamil dengan autisme.


Katanya, WHO turut mengesahkan paracetamol yang lazim digunakan sebagai ubat tahan sakit dan demam temasuk dalam kalangan wanita hamil selamat digunakan mengikut dos serta nasihat doktor.


"Berdasarkan garis panduan klinikal terkini, ia kekal antara pilihan paling selamat jika diambil pada dos terendah yang berkesan serta untuk tempoh sesingkat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.


Kenyataan itu susulan laporan media antarabangsa baru-baru ini yang mendakwa penggunaan Tylenol (paracetamol) semasa hamil serta pemberian vaksin boleh menyebabkan autisme pada kanak-kanak, selain dakwaan asid folinik boleh merawat autisme.


Mengulas mengenai vaksin, Dr Mahathar berkata, WHO menegaskan hasil kajian dari pelbagai negara telah berulang kali menunjukkan tiada bukti saintifik mengaitkan vaksin dengan autisme.


Malah, katanya, vaksin terbukti berjaya menyelamatkan sekurang-kurang 154 juta nyawa sepanjang tempoh 50 tahun lalu selain kini melindungi masyarakat daripada lebih 30 jenis penyakit berjangkit.


"Autisme adalah spektrum penyakit gangguan perkembangan otak yang berterusan dan kekal, membabitkan hampir 62 juta orang di seluruh dunia.


"Punca sebenar autisme masih belum difahami sepenuhnya, namun ia dipercayai berpunca daripada faktor biologi, genetik serta persekitaran, bukan vaksin," katanya.


Mengenai dakwaan folinic acid (leucovorin) mampu merawat autisme pula, Dr Mahathar menjelaskan bukti saintifik masih terhad kepada kajian kecil dan belum boleh dianggap sebagai rawatan standard.


“Kajian klinikal berskala besar masih diperlukan sebelum ubat ini boleh dianggap rawatan yang selamat dan berkesan untuk autisme. Buat masa ini, ubat ini tidak boleh dianggap sebagai rawatan standard,” jelasnya.


Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan tanpa asas saintifik kukuh selain menegaskan komitmen KKM untuk memastikan setiap ubat dan vaksin yang digunakan di Malaysia selamat serta berkesan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page