Pastikan data MyKad dan Lesen Memandu selaras untuk kelayakan BUDI95 – MoF
- nabalunews
- 7 hours ago
- 2 min read

29 September 2025
PUTRAJAYA: Orang ramai diingatkan supaya memastikan butiran pada MyKad dan lesen memandu adalah tepat bagi memastikan kelayakan menikmati sistem subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) tidak terjejas.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan berkata, berdasarkan analisis pihaknya dan Kementerian Pengangkutan (MoT), terdapat sebahagian data lesen memandu yang masih menggunakan nombor lama.
Ia termasuk nombor polis, nombor tentera, atau kad pengenalan lama, dan tidak sepadan dengan format MyKad 12 digit.
"Selain memastikan lesen masih sah, pengguna perlu memastikan nombor MyKad 12 digit digunakan dan direkod dengan betul dalam lesen memandu; nama pemegang lesen adalah tepat; serta kelas dan jenis kenderaan dinyatakan dengan betul.
"Penyelarasan ini diperlukan kerana butiran di lesen memandu akan disemak silang dengan maklumat dalam MyKad, yang menjadi dokumen dibaca oleh terminal pembayaran di stesen minyak untuk pengesahan kelayakan," katanya.
Menurut kementerian itu, orang ramai boleh hadir ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengemas kini maklumat pada lesen memandu sekiranya terdapat sebarang ketidakselarasan.
Jelasnya, MoF dan MoT akan menyegerakan penyelarasan data secara mingguan bagi memastikan rakyat dapat menikmati harga bersubsidi BUDI95.
Dalam kenyataan sama, kementerian turut memaklumkan hari kedua pelaksanaan BUDI95 semalam (28 September 2025) berjalan lancar untuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Hampir 500,000 daripada keseluruhan 6.1 juta penerima STR, bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, melakukan transaksi BUDI95 di stesen minyak di seluruh negara.
"Sepanjang 28 September 2025, sebanyak RM22.9 juta pembelian direkodkan bagi 11.5 juta liter petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, dengan pengesahan MyKad di stesen minyak berjalan lancar," katanya.
Selain itu katanya sejak portal BUDI95 dilancarkan pada 25 September 2025, seramai 8.6 juta pengguna membuat semakan kelayakan mereka untuk memanfaatkan subsidi RON95.
Tambahnya, portal BUDI95 kini juga dilengkapi dengan ciri semakan sejarah transaksi.
“Untuk mengakses ciri ini, pengguna perlu mendaftar dan log masuk ke portal BUDI95 dengan menggunakan MyDigital ID.
“MyDigital ID digunakan sebagai langkah keselamatan bagi memelihara identiti digital serta maklumat peribadi rakyat dalam aplikasi kerajaan,” jelasnya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI95 di www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595.
Comments