PdPR BERI KESAN GOLONGAN B40: JURANG PEMBANGUNAN SEMAKIN KETARAPdPR BERI KESAN GOLONGAN B40: JURANG PEMBANGUNAN SEMAKIN KETARA
top of page
  • Writer's picture Rizoh Evied

PdPR BERI KESAN GOLONGAN B40: JURANG PEMBANGUNAN SEMAKIN KETARA


Gambar Hiasan

18 Feb 2021


Ketika negara berhadapan dengan penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir di seluruh negara, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tiada pilihan selain melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi semua peringkat pendidikan.


Seharusnya, kemudahan yang mendukung pelaksanaan PdPR itu perlu disediakan terlebih dahulu dan dipastikan mampu milik kepada semua golongan agar tiada yang tercicir dari aspek pendidikan formal.

Letusan pandemik Covid-19 di seluruh dunia ternyata mendorong sistem pendidikan negara ke arah digitalisasi dengan kadar segera melalui PdPR. Justeru, alat memudahcara pendidikan seperti capaian internet dan peranti pintar, menjadi keperluan asas dalam proses Pengajaran dan pembelajaran di rumah.

Dr. Rizoh Bosorong

Namun, perkara ini tanpa disedari menambah bebanan kumpulan B40, luar bandar dan pedalaman yang sudah pun berhadapan dengan tekanan ekonomi. Secara keseluruhnya, negara belum lagi bersedia dengan pelaksanaan PdPR berdasarkan kepada tahap capaian internet dan keupayaan golongan terlibat.


Penularan Covid-19 dan pelaksanaan PKP 2.0 mengakibatkan ramai rakyat terjejas sumber pendapatan dan mata pencarian, termasuk tidak dapat meneruskan perniagaan kecil-kecilan, tidak dapat menjual hasil pertanian/penternakan, selain kehilangan pekerjaan.

Golongan B40 yang kebanyakannya tidak memiliki sumber pendapatan tetap dan bekerja sendiri, merupakan kumpulan paling terkesan. Selain berjuang menyediakan keperluan makanan keluarga untuk hidup, golongan ini turut terbeban menyediakan gajet dan melanggan pakej internet bagi membolehkan anak-anak mereka mengikuti PdPR dirumah.


Berdasarkan kepada cabaran yang dihadapi, sudah tentu keutamaan ibubapa dalam golongan ini adalah menyediakan makanan kepada keluarga sebelum memikirkan persediaan PdPR anak-anak. Sekiranya keadaan ini berterusan, lebih ramai anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah, khususnya golongan B40 yang berada di luar bandar dan pedalaman akan tercicir dalam pendidikan berbanding pelajar di kawasan bandar atau pekan.


Menurut Prof. Datin Dr. Mariani Mohd Noor (Pakar psikologi), golongan kanak-kanak ini akan berdepan risiko menjadi “generasi ketinggalan” atau “lost generation” jika tidak ditangani dengan segera.

Sebelum pun pandemik Covid-19, sudah mejadi pengetahuan umum bahwa kemudahan bangunan sekolah dan capaian internet di Sabah dan Sarawak berada pada tahap tidak memuaskan berbanding semenanjung, apatah lagi kawasan luar bandar dan pedalaman.


Sebab itu, pandemik Covid-19 telah menonjolkan lagi jurang perbezaan pembangunan yang saban tahun kian ketara. Jurang pembangunan yang ketara ini sedikit sebanyak memberikan gambaran kepada pelaksanaan dasar-dasar kerajaan pesekutuan sebelum ini kepada pembangunan infra, prasarana, kemudahan dan sosio-ekonomi di Sabah dan Sarawak.


Saya yakin bahwa salah satu platform terbaik bagi golongan B40 untuk keluar dari zon kemiskinan adalah melalui pendidikan. Namun, pendekatan PdPR ketika ini tanpa disedari mengheret golongan ini ke tahap kemiskinan yang lebih teruk.


Justeru, kita menyarankan agar kerajaan meneliti semula mekanisma pelaksanaan PdPR, memperbaiki dan menyelaras kembali sistem tersebut, dengan mengambil kira semua golongan masyarakat yang terlibat agar pendekatan ini tidak akan terus merencatkan potensi masa depan kumpulan pelajar terbabit.

Pelanjutan masa pelaksanaan PdPR akan menguntungkan sebilangan murid yang berkemampuan tetapi ia akan menyebabkan jurang pendidikan yang semakin besar kepada golongan B40 yang bermasalah.


Saya berpendapat bahwa semua pelajar mempunyai hak sama rata untuk mendapatkan pendidikan, namun pendekatan PdPR telah mewujudkan jurang yang membatasi peluang mereka untuk menikmati pembelajaran dan dibentuk menjadi modal yang seimbang. Oleh itu, golongan ini memerlukan sokongan dan bantuan menghadapi tekanan berdepan Covid-19.

Oleh itu, selain memastikan capaian internet diperluaskan ke kawasan luar bandar dan pedalaman dan menyediakan bantuan peranti pintar kepada kumpulan sasaran, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk meneliti SOP pembelajaran secara bersemuka, dimana ianya boleh dilakukan secara berkala dan berperingkat. Sebab, sekiranya masalah ini tidak diatasi secepat mungkin, ia memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara pada tahun-tahun yang mendatang.


Dr. Rizoh Bosorong

Aktivis Masyarakat


bottom of page