PDRM hargai pelaksanaan BUDI95 - KPN
- nabalunews
- Sep 27
- 1 min read

27 September 2025
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas pelaksanaan inisiatif Program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang mula digunakan bermula hari ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, langkah itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara, khususnya melalui sokongan berterusan kepada PDRM.
“PDRM yakin inisiatif ini dapat menyuntik semangat dan motivasi warga kerja PDRM sekali gus akan memberi nilai tambah kepada keberkesanan operasi PDRM demi kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di bawah inisiatif BUDI95, seramai 300,000 anggota tentera dan polis menjadi kumpulan pertama menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 sen seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter.
Program subsidi bersasar itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September lalu dan dilaksanakan secara berperingkat.
Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mula menikmatinya esok, sebelum diperluas kepada warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif mulai 30 September ini.


















Comments