Peary-Thinaah lakar sejarah layak ke separuh akhir badminton Sukan Olimpik

1 Ogos 2024
PARIS : Beregu wanita negara Pearly Tan – M Thinaah mencipta sejarah pada penampilan pertama mereka di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila menjadi beregu wanita pertama negara di pentas Olimpik yang melangkah ke peringkat separuh akhir selepas mengejutkan pilihan ke-10 dunia dari Korea Selatan, Kim So Yeong- Kong Hee Yong.
Pearly-Thinaah meraih kemenangan menerusi permainan konsisten bermula dari set pertama untuk menumbangkan pasangan Korea Selatan yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020, Kim So Yeong-Kong Hee Yong 21-12, 21-13.
Kombinasi baik serta pengawalan gelanggang yang jitu yang dipamerkan beregu negara itu mendapat sokongan padu daripada penonton yang membanjiri venue pertandingan Porte de la Chapelle.
Tanpa memberi ruang dan peluang kepada lawan mereka, Pearly-Thinaah
meninggalkan lawan dengan jarak cukup selesa 7-1 di set pertama dan mendahului 10 mata di hadapan ketika di kedudukan 19-9 sebelum menamatkan perlawanan 21-12 di set pertama.
Bermula di set kedua, pasangan Korea mula memberikan tentangan untuk cuba membawa aksi ke set penentuan apabila saling mengejar mata demi mata sehingga berjaya mengikat kedudukan 8-8 pada satu ketika.
Namun langkah Pearly-Thinaah mula konsisten selepas itu apabila menjarakkan kedudukan.
Keadaan sedikit menggusarkan ketika di kedudukan 13-12 apabila Pearly meminta sokongan perubatan apabila mengalami ketegangan di bahagian paha.
Mujur ia bukan kecederaan serius apabila Pearly-Thinaah menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-13.
Menanti beregu negara di separuh akhir adalah pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.
Namun inilah peluang Pearly-Thinaah untuk mereka membalas dendam selepas tewas kepada lawan yang sama ketika aksi pembukaan Kumpulan A.
Sebelum ini aksi terbaik beregu wanita negara di Sukan Olimpik hanyalah mara ke suku akhir di Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016 menerusi Vivian Hoo-Woon Khe Wei.
Bagaimanapun, Vivian-Khe Wei ketika itu gagal ke separuh akhir apabila tewas di tangan pasangan Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi.
Comments