Perpaduan dalam Pengharapan: Komuniti St. Augustine Kaung dan St. Petrus Lobong-Lobong Raikan Tiga Perayaan Sekaligus
- nabalunews
- Jun 2
- 2 min read

2 Jun 2025
KOTA BELUD : Komuniti Katolik Gabungan Chapel St. Augustine Kaung dan Chapel St. Petrus Lobong-Lobong telah mengadakan sambutan serentak tiga perayaan utama – Paska, Hari Ibu dan Bapa serta Pesta Kaamatan 2025 – dalam sebuah majlis yang berlangsung meriah dan penuh makna di perkarangan Gereja St. Augustine Kaung, semalam 1 Jun 2025.
Program yang bertemakan "Berjalan Bersama Dalam Pengharapan, Menghidupi" telah dimulakan dengan Misa Kudus yang disempurnakan oleh Rev. Fr Federick Raymond.
Dalam ucapan beliau, Fr. Federick menekankan bahawa apa jua bentuk perayaan harus diraikan dalam kasih dan kuasa Tuhan, selari dengan semangat kekristianan yang menekankan perpaduan, kasih sayang dan pengharapan.
“Apa yang penting dalam majlis ini ialah meraikan dalam kuasa Tuhan. Tidak kira apa jenis perayaan yang diraikan, seluruh umat harus sentiasa meraikannya dalam kasih dan kuasa Tuhan,” ujar beliau.
Selesai Misa Kudus, para jemaat berhimpun di kawasan perkarangan gereja untuk meneruskan program yang bersifat santai namun bermakna, di mana majlis turut disertai dengan acara makan bersama secara potluck. Setiap keluarga membawa juadah masing-masing sebagai lambang kesatuan dan saling melengkapi dalam komuniti.
Menurut Pengerusi Penganjur, Geogfrey Magaran, penganjuran sambutan tiga dalam satu ini bertujuan memberi peluang kepada komuniti luar kawasan untuk turut serta semasa musim cuti.
“Ramai ahli komuniti bekerja di luar daerah. Waktu perayaan dan cuti seperti ini amat berharga untuk mereka kembali dan meraikannya bersama keluarga dan komuniti. Oleh itu, kami gabungkan ketiga-tiga perayaan ini bagi memastikan kehadiran yang lebih menyeluruh,” jelas beliau.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Saikom Watis yang hadir mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif komuniti gereja yang menjunjung tinggi nilai kekeluargaan dan budaya.
Beliau menyifatkan sambutan seperti ini bukan sahaja mempererat silaturahim dalam kalangan umat, malah memupuk semangat kesukarelawanan dan keterlibatan aktif dalam membangunkan masyarakat secara holistik.
Dengan paduan elemen keagamaan, kebudayaan dan kekeluargaan, sambutan ini bukan sahaja memperkukuh identiti komuniti tempatan, malah menjadi manifestasi jelas bahawa pengharapan mampu menjadi jambatan yang menyatukan umat dalam segala keadaan.
Comments