Peguam Hantar Surat Tuntutan Kepada Jabatan Peguam Negara
- nabalunews
- Aug 5, 2025
- 2 min read

5 Julai 2025
KUALA LUMPUR: Peguam yang mewakili ibu Zara Qairina Mahathir, memaklumkan satu surat permohonan dan rayuan telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan empat tuntutan bagi pihak Noraidah Lamat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan peguam, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, berkata, antara tuntutan berkenaan adalah memohon agar kertas siasatan dikembalikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuka siasatan semula.
Katanya, mereka turut memohon agar proses siasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman serta menggali semula kubur Zara untuk membolehkan proses bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian.
“Selain itu, satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara.
“Kami berharap Peguam Negara dapat melaksanakan kuasa di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk mengarahkan Majistret mengadakan inkues tersebut,” katanya.
Menurutnya, pihaknya turut mengesan terdapat kelemahan dan kepincangan serius dalam kertas siasatan yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara, pada 3 dan 4 Ogos lalu.
Katanya, laporan siasatan itu dianggap terhad dari segi skop dan fokus termasuk perkara utama yang dibangkitkan iaitu tiada bedah siasat dilakukan terhadap jenazah Zara sebelum dikebumikan.
Selain itu katanya, pakaian dan barang peribadi milik Zara yang dipakai ketika ditemui di bawah bangunan asrama pada 16 Julai lalu juga tidak diambil polis untuk siasatan.
“Keterangan saksi utama iaitu ibu Zara berkenaan kesan lebam di bahagian belakang Zara juga hanya diambil pada petang 3 dan 4 Ogos di Balai Polis Sipitang.
“Pihak peguam percaya polis tidak mempunyai material yang cukup untuk menyiasat secara efektif perkara ini kerana mereka tidak mempunyai laporan bedah siasat, dan pakaian dan barang peribadi Zara selain wujudnya kekangan masa untuk menyiasat,” katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili keluarga mangsa mendakwa penularan isu ‘plot twist’ sejak minggu lalu di beberapa platform media sosial kononnya kematian Zara adalah akibat tekanan perasaan oleh ibunya sendiri memberi indikasi seolah-olah berlaku kebocoran kepada fail siasatan.
“Kertas yang dikatakan ‘diari’ milik Zara adalah sumber penularan tersebut sehingga ianya dilabel sebagai ‘bukti berjisim’.
“Jika kertas itu adalah sebahagian daripada barang peribadi Zara yang diambil dari lokarnya di asrama oleh polis selepas kematiannya, itu bermakna seseorang telah membocorkan isi kandungan fail siasatan kepada umum bagi membina naratif jahat dan persepsi negatif terhadap Zara dan ibunya. Akibatnya, integriti siasatan telah tergugat,” katanya.
Sehubungan itu, peguam memaklumkan pihaknya tidak mengharapkan kemenangan dalam siasatan, sebaliknya hanya ingin menuntut keadilan untuk anaknya.
Katanya, mereka turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk individu, pelajar, penggiat seni dan komuniti yang telah menzahirkan solidariti melalui perhimpunan aman, lagu, sajak dan kempen media sosial.
“Dalam masa yang sama, elakkan membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan fitnah kepada mana-mana pihak,” katanya.















Comments