Peguam Negara nafi dakwaan pendakwaan terpilih dan bermotif politik
- Wartawan Nabalu News
- Jul 19, 2023
- 1 min read

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara menegaskan bahawa semua pendakwaan yang dibuat adalah berdasarkan keterangan dan fakta, dan bukannya atas desakan atau faktor lain.
Ini adalah sebagai respons kepada dakwaan bahawa terdapat pendakwaan terpilih (selective prosecution), bermotif politik dan penganiayaan (persecution) dalam kes-kes baru-baru ini.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Peguam Negara Malaysia berkata, keputusan untuk mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana orang adalah dibuat berdasarkan kertas siasatan, tidak memihak kepada sesiapa dan selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara menafikan dakwaan wujudnya pendakwaan terpilih (selective prosecution), bermotif politik dan penganiayaan (persecution) terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang," kata Peguam Negara.
Tambahnya, sekiranya terdapat keterangan dan bukti kukuh bahawa mana-mana individu telah melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang, individu itu akan didakwa oleh Jabatan Peguam Negara tanpa mengira status dan latar belakang orang yang didakwa.
"Jabatan Peguam Negara berpegang kepada teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperolehi keadilan yang sewajarnya," jelas Peguam Negara.
Comentários