Pekeliling lama termasuk berkaitan pemilikan saham penjawat awam disemak semula - JPA
- nabalunews
- 47 minutes ago
- 1 min read

12 Februari 2026
PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang memberi perhatian untuk mengemas kini pekeliling, peraturan dan garis panduan yang telah melebihi 20 tahun atau tidak lagi relevan pemakaiannya termasuk berkaitan pekerjaan luar serta pemilikan saham oleh pegawai awam.
JPA dalam kenyataan hari ini berkata, ia berdasarkan kepada keperluan semasa meliputi pelbagai aspek perubahan yang berlaku dalam persekitaran kerajaan, ekonomi, perniagaan dan teknologi.
“Pengemaskinian ini juga menjadi agenda utama dalam Reformasi Kerenah Birokrasi yang menjadi teras kepada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, berorientasikan peningkatan kecekapan, integriti dan memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
"Ini bagi memastikan dasar kerajaan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa, namun kekal seimbang antara elemen integriti dan realiti semasa, tanpa menjejaskan prinsip ketelusan serta akauntabiliti pegawai awam,” katanya.
Agensi itu berkata, semua entiti kerajaan diwajibkan menyemak semula setiap instrumen kawal selia, termasuk pekeliling, peraturan dan garis panduan di bawah bidang kuasa masing-masing.
Menurut JPA, semakan itu perlu dibuat dalam setiap tiga tahun, mengikut ketetapan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867) yang berkuat kuasa pada 1 Disember lalu.
Isu pemilikan saham membabitkan penjawat awam berbangkit susulan laporan Bloomberg yang mendakwa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mendesak JPA memberi penjelasan terbuka berkaitan isu pegangan saham berkenaan, yang dakwanya melanggar Pekeliling Pengurusan Tatatertib dan Kelakuan Pegawai Awam 2024.














