Tiada cadangan naik taraf Jalan Persekutuan 22 di Kundasang dan Ranau
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

12 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Tiada cadangan menaik taraf Laluan Persekutuan 22 melibatkan jalan di Pekan Kundasang dan Pekan Ranau di Sabah dikenal pasti dalam Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2040 (HNDP 2040).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan data terkini stesen bancian lalu lintas di laluan itu, tahap perkhidmatan jalan atau Level of Service (LOS) berada pada tahap A, iaitu kategori paling kurang sesak, sekali gus masih mampu menampung aliran trafik sedia ada.
Menurut beliau, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menerbitkan HNDP 2040 membabitkan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi mengenal pasti keperluan menaik taraf jalan sedia ada atau membina jalan baharu melibatkan Jalan Persekutuan serta Jalan Utama Negeri.
“Kajian ini merangkumi pelbagai aspek termasuk isi padu trafik, guna tanah, ekonomi, alam sekitar dan sosioekonomi bagi mewujudkan rangkaian jalan raya yang lebih efisien melibatkan negeri dan wilayah-wilayah berkaitan.
“Namun, hasil semakan kementerian mendapati tiada cadangan projek dalam HNDP 2040 bagi menaik taraf Laluan Persekutuan 22,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) berhubung tindakan segera kementerian untuk mengatasi kesesakan di kawasan Pekan Kundasang dan Pekan Ranau memandangkan laluan tersebut merupakan Jalan Persekutuan.
Ahmad bagaimanapun memaklumkan, terdapat perancangan projek jajaran alternatif di bawah Lebuhraya Pan Borneo Fasa 2 termasuk menaik taraf Jalan Kiulu–Pahu–Tamparuli kepada empat lorong dengan reka bentuk R4 sepanjang 24.8 kilometer (km).
Turut dalam perancangan, katanya, naik taraf Jalan Pahu–Randagong–Ranau dua lorong reka bentuk R4 sepanjang 21.66 km serta Jalan Pahu–Tamparuli kepada empat lorong reka dengan bentuk R4 sepanjang 15.72 km.
Menurutnya, cadangan jajaran Lebuhraya Pan Borneo Fasa 2 bagi kajian HNDP 2040 itu dijangka dilaksanakan selepas tahun 2030.
“Fokus utama kementerian ketika ini adalah memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A dan Fasa 1B melibatkan pembinaan infrastruktur jalan raya sepanjang 706 km merangkumi 35 pakej kerja disiapkan mengikut jadual serta spesifikasi ditetapkan.
“Selain itu, kerajaan turut meluluskan projek pembaikan cerun di Kilometer 55.3 Jalan Kota Kinabalu–Sandakan (Laluan Persekutuan 22) di Tuaran, Sabah di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” jelasnya.
Menjawab soalan tambahan Jonathan yang mendakwa kesesakan di Kundasang dan Ranau boleh mencecah enam hingga lapan jam bagi perjalanan yang lazimnya hanya mengambil masa sekitar 10 hingga 15 minit, Ahmad mengakui laluan itu sesak terutama pada hujung minggu dan musim perayaan.
“Saya sendiri pernah melalui jalan tersebut dalam beberapa siri lawatan tahun lalu dan mendapati kesesakan berlaku pada hujung minggu atau hari perayaan, tetapi pada hari biasa tidaklah sesak,” katanya.
Tambah beliau, tiada permohonan diterima daripada kerajaan negeri Sabah bagi projek berkaitan dalam RP1-RP5 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) mahupun dalam RP1 RMK13.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Jonathan berbincang dengan kerajaan negeri serta agensi berkaitan bagi mengemukakan permohonan, termasuk cadangan awal seperti pembesaran bahu jalan sebagai langkah sementara sebelum pembesaran lebih menyeluruh dilaksanakan.


















Comments