top of page

Pekerja terima gaji bawah RM1,700 disaran buat aduan segera

  • nabalunews
  • Jun 24
  • 2 min read

24 Jun 2025


PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyarankan pekerja yang menerima bayaran gaji di bawah RM1,700 agar segera membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berhampiran.


KESUMA dalam satu kenyataan memaklumkan, sekiranya aduan itu disahkan oleh mahkamah, majikan boleh diarahkan untuk membayar perbezaan gaji serta elaun-elaun yang terjejas, selaras dengan Seksyen 44 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).


“Semua pihak wajib mematuhi peraturan gaji minimum yang telah ditetapkan bagi melindungi kebajikan dan hak pekerja di negara ini.


“KESUMA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebarang pelanggaran di bawah Akta 732,” menurut kenyataan itu.


Ia merujuk laporan media baru-baru ini mengenai dakwaan pemandu bas persiaran hanya menerima gaji pokok RM700 sebulan tanpa elaun tetap.


Menurut KESUMA, di bawah Perintah Gaji Minimum 2024 (PGM 2024) yang sedang berkuat kuasa, majikan wajib memastikan pekerja menerima gaji minimum RM1,700 sebulan tanpa mengira sama ada dibayar melalui struktur gaji pokok atau jumlah pendapatan bulanan.


“Sekiranya majikan menetapkan gaji pokok dalam kontrak perkhidmatan, kadar gaji pokok yang ditetapkan mestilah tidak kurang daripada kadar gaji minimum semasa.


“Jika majikan tidak menetapkan gaji pokok dalam kontrak perkhidmatan, majikan haruslah memastikan kadar gaji bulanan yang perlu dibayar adalah tidak kurang daripada kadar gaji minimum semasa dan tidak termasuk bayaran elaun-elaun lain," katanya.


Selain itu katanya, PGM 2024 turut terpakai kepada pekerja sambilan.


Menurutnya, majikan yang gagal mematuhi peruntukan PGM 2024 boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 43 Akta 732, termasuk denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja untuk kesalahan pertama.


“Bagi kesalahan yang berterusan, denda tambahan tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.


“Manakala bagi kesalahan berulang, penalti boleh dikenakan ialah denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun,” katanya.


Kementerian itu turut memaklumkan JTK akan mempertingkat pemantauan serta tindakan penguatkuasaan terhadap aduan atau kesalahan pemotongan gaji yang melanggar PGM.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page