top of page

Pelajar hisap vape boleh dibuang sekolah jika ulang kesalahan

  • nabalunews
  • Mar 6
  • 1 min read

6 Mac 2025


KUALA LUMPUR: Pelajar yang didapati melakukan kesalahan berulang menghisap vape atau rokok elektronik di sekolah boleh digantung selama 14 hari persekolahan atau dibuang sekolah.


Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek, berkata tindakan disiplin itu adalah bentuk ketegasan yang diambil Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membendung isu penggunaan vape di sekolah.


Katanya, pihak sekolah boleh mengambil tindakan menggantung persekolahan selama 14 hari yang tidak melibatkan peperiksaan awam terhadap pelajar terlibat salah laku vape.


“Tindakan diambil selepas sesi konsultasi dengan ibu bapa dan pelajar terbabit melengkapkan borang aku janji untuk tidak mengulangi kesalahan.


"Sekiranya pelajar terbabit masih ingkar dan mengulangi salah laku, maka dia boleh digantung sekolah.


" Ketegasan kita adalah sehingga tahap mereka juga boleh dibuang sekolah,”katanya di Dewan Negara, semalam.


Menurutnya, tindakan tersebut sepertimana ditetapkan menerusi Surat Siaran Bilangan 17 Tahun 2015 yang melarang penggunaan rokok elektronik atau vape di sekolah.


Fadhlina berkata, KPM sentiasa menegaskan Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Pendidikan Daerah dan sekolah agar mematuhi surat siaran dan peraturan yang sedang berkuatkuasa.


Sementara itu, Fadhlina berkata, pencegahan penggunaan vape akan lebih berkesan dengan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak selain daripada program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa).


Sehubungan itu, katanya, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan menyeru kerjasama daripada KPM, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), ibu bapa dan masyarakat dalam memantau penjualan vape dalam kalangan pelajar.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page