Pelajar maanfaat baucar buku, lebih 100,000 ditebus dalam tempoh tiga hari - Fadhlina

3 Jun 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Dalam tempoh hanya tiga hari selepas penebusan baucar buku bermula pada 31 Mei lepas, lebih 100,000 baucar telah ditebus, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Penebusan ini melibatkan 56,466 baucar buku bagi peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) yang merangkumi murid tahun empat dan ke atas serta pelajar sekolah menengah, manakala baki 50,000 baucar di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
"Setakat ini (lebih) 122,000 judul buku telah dibeli yang melibatkan (nilai) pembelian sehingga lebih RM600,000," kata Fadhlina selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024.
Tambah beliau, "Ini menunjukkan baucar tersebut menjadi pemangkin kepada minat (membaca) dan ramai ibu bapa mengambil kesempatan untuk memastikan bahawa anak mereka mendapat manfaat daripada baucar itu."
Inisiatif baucar buku untuk murid dan pelajar di semua institusi bawah KPM dan KPT ini diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai usaha kerajaan melahirkan generasi berilmu, berfikiran kritis dan berwawasan.
Pada 30 Mei lepas, perdana menteri mengumumkan pemberian baucar buku RM50 dan RM100 kepada murid tahun empat dan ke atas, pelajar sekolah menengah, serta penuntut institusi pendidikan tinggi dan Institut Pendidikan Guru.
Tempoh sah penebusan dan penggunaan baucar buku bagi murid dan pelajar di institusi pendidikan di bawah KPM adalah dari 31 Mei hingga 31 Disember ini.
Opmerkingen