Pelajar Malaysia di Universiti Harvard boleh teruskan pengajian tanpa gangguan status visa – KPT
- nabalunews
- Jun 9
- 2 min read

8 Jun 2025
PUTRAJAYA: Pelajar Malaysia di Universiti Harvard boleh meneruskan pengajian tanpa sebarang halangan berkaitan status visa buat masa ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat yang mengekalkan Perintah Tahanan Sementara (TRO) berkaitan pembatalan pensijilan di bawah Program Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVP).
“Keputusan ini membolehkan semua pelajar antarabangsa termasuk dari Malaysia untuk meneruskan pengajian di pusat berkenaan.
“Setakat ini seramai 54 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian di institusi itu termasuk 16 pelajar tajaan dan 38 pelajar pembiayaan sendiri,” katanya.
Menurut KPT, pihaknya sentiasa memantau rapat isu berkenaan melalui Pejabat Education Malaysia di Washington D.C. (EMWDC) dan telah berhubung dengan pihak penaja berkaitan serta pihak berkuasa pendidikan Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan kebajikan pelajar Malaysia sentiasa terpelihara.
KPT turut mengingatkan para pelajar untuk sentiasa mengemaskini maklumat berkaitan Latihan Praktikal Pilihan (OPT) serta berhati-hati dalam tindakan melibatkan urusan imigresen bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
“Setakat ini, tiada pelajar Malaysia dilaporkan mengalami sebarang masalah berkaitan rekod Sistem Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVIS) atau penarikan semula visa,” katanya.
Selain itu, KPT menyarankan pelajar baharu bagi kemasukan September 2025 agar berhubung secara terus dengan pihak universiti dan penaja masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini sebelum mengambil sebarang keputusan lanjut.
Dalam pada itu, KPT turut menegaskan komitmen Malaysia terhadap pendidikan tinggi rentas sempadan sebagai landasan penting dalam pembangunan bakat global dan kerjasama strategik antara negara.
“KPT akan terus menyokong pelajar Malaysia di luar negara dalam apa jua keadaan sejajar dengan konsep Malaysia Madani,” katanya.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (DHS) pada 22 Mei lalu telah membatalkan pensijilan SEVP terhadap Universiti Harvard, yang menyekat pendaftaran pelajar antarabangsa baharu dan mengancam status visa pelajar sedia ada.
Komentar