top of page

Pelajar tajaan JPA boleh tukar model PBU Akademik mulai 5 Januari

  • nabalunews
  • Jan 3
  • 1 min read

3 Januari 2026


PUTRAJAYA: Pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di bawah skim Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit (PBU) Tempat Berkhidmat 2016 kini berpeluang menukar kepada model PBU Akademik secara berfasa bermula Isnin ini.


JPA menerusi satu kenyataan memaklumkan, fasa pertama penawaran opsyen yang berlangsung dari 5 Januari hingga 5 Februari melibatkan pelajar yang tamat tajaan pada atau selepas 1 Januari 2025.


Manakala fasa kedua, katanya, membabitkan pelajar yang tamat tajaan pada atau sebelum 31 Disember 2024.


“Pelaksanaan opsyen ini akan dibuat menerusi portal Malaysian Student Engagement Online Feed (MySELF).


“Pelajar tajaan JPA diminta memastikan akaun MySELF masing-masing berada dalam status aktif serta mengemas kini maklumat perhubungan seperti alamat, e-mel peribadi dan nombor telefon bagi memastikan proses penawaran opsyen berjalan lancar,” menurut kenyataan itu.


Kerajaan sebelum ini memperkenalkan model penajaan PBU Akademik bagi pelajar tajaan JPA bermula 1 Jun 2025, yang setakat ini telah memanfaatkan lebih 11,000 pelajar di peringkat ijazah pertama dan ijazah lanjutan.


Dalam pada itu, JPA memaklumkan kerajaan turut bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman pelajar PBU 2016 hingga 30 Jun 2026 bagi pelajar yang tidak mempunyai tunggakan bayaran balik.


“Pelajar yang mempunyai tunggakan dinasihatkan supaya segera menjelaskan tunggakan tersebut selewat-lewatnya pada 31 Mei ini,” menurut kenyataan itu lagi.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page