top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pelaksanaan MA63 keutamaan Kerajaan Perpaduan



14 Mac 2023


KUALA LUMPUR: Penyelesaian segera isu-isu berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan antara agenda yang diberikan penekanan utama Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Kesepuluh, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, untuk itu beberapa ketetapan telah diambil pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Januari 2023.


“Antara lain ketetapan yang telah dibuat adalah supaya kementerian atau agensi Persekutuan yang berkaitan menyusul dan meneruskan pelaksanaan keputusan-keputusan dasar yang telah dicapai di bawah pentadbiran Kerajaan terdahulu.


“Selain itu, kementerian dan agensi Persekutuan yang berkaitan juga meneruskan perbincangan bagi isu-isu belum selesai dan membentangkan dengan segera cadangan penyelesaian terhadap isu tersebut untuk pertimbangan Jemaah Menteri.


“Platform perundingan sedia ada antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak juga akan diteruskan untuk menyusul isu-isu yang masih dalam proses rundingan dengan cadangan ubah suai dan mekanisme penambahbaikan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis terhadap soalan lisan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (PH - Tuaran) pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini, pada Isnin.


Terdahulu dalam soalannya Madius meminta Perdana Menteri menyatakan jangka masa (timeline) pelaksanaan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 sepertimana yang telah ditawarkan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Menurut Armizan, Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) merupakan platform perundingan di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.


“Majlis ini telah diperkemaskan bagi memastikan isu-isu yang masih dalam proses rundingan dapat diselesaikan dengan segera.


“Di bawah MTPMA63, sebanyak dua jawatankuasa telah diwujudkan iaitu Jawatankuasa Teknikal yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Fadillah Yusof.


“Sebuah lagi jawatankuasa ialah Jawatankuasa Penyelarasan yang akan dipengerusikan secara bersama oleh saya dan Menteri yang berkaitan sekiranya isu tersebut memerlukan intervensi untuk diselesaikan,” jelasnya.


Armizan berkata, kerajaan telah mengadakan Mesyuarat MTPMA63 Bilangan 1/2023 pada 20 Januari 2023 bagi menyambung semula perundingan berhubung pelaksanaan MA63 dalam tempoh 100 hari Jemaah Menteri dibentuk.


Katanya, tumpuan akan diberikan kepada perkara-perkara yang tidak terlalu kompleks dan tidak melibatkan proses perundangan yang rumit untuk diselesaikan terlebih dahulu.


“Sebanyak tiga tuntutan asal MA63 telah berjaya diselesaikan iaitu penyerahan Kuasa Kawal Selia Bekalan Gas Kepada Kerajaan Negeri Sabah selesai diserahkan berkuatkuasa 4 Januari 2023.

“Pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan JKR Sarawak Sebagai Jabatan Teknik. Pengiktirafan turut dipanjangkan kepada Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Sabah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak untuk mengendalikan urusan penyediaan reka bentuk, penyediaan bill of quantities, proses perolehan dan pentadbiran kontrak bagi projek Persekutuan bernilai tidak melebihi RM50 juta yang dilaksanakan di Negeri Sabah dan Sarawak.


“Selain itu, pelantikan Wakil Kerajaan Negeri Sarawak Sebagai Anggota Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.


Mengulas lanjut, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar memaklumkan, tempoh penyelesaian tuntutan MA63 yang masih dalam perbincangan tertakluk kepada beberapa aspek seperti tempoh masa yang diperlukan bagi penggubalan atau pindaan sesuatu undang-undang yang terlibat sebelum ia boleh dilaksanakan.


Selain itu katanya, tahap kesediaan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dari sudut operasi, sumber manusia, aspek kewangan juga merupakan aspek yang perlu diambil kira sebelum suatu perkara dapat diselesaikan.


“Sebagai contohnya, pemberian kuasa berhubung alam sekitar telah dipersetujui untuk dilaksanakan secara berfasa dan dijangka akan mengambil tempoh masa sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum dilaksanakan sepenuhnya di bawah Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.


“Perkara lain berkaitan MA63 yang masih belum selesai tersebut akan terus dibincang dan dipantau oleh Jawatankuasa Teknikal yang ditubuhkan dibawah MTPMA63.


“Sekiranya terdapat isu-isu baharu di bawah MA63, ia boleh dibawa ke MTPMA63 oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak untuk dibincang dan diteliti sebelum tindakan lanjut dapat dilaksanakan,” tambah Armizan.


Sementara itu, Madius menyifatkan jawapan tersebut sebagai sesuatu yang istimewa umpama hadiah kepada sambutan ulang tahunnya yang ke-65 pada 13 Mac 2023.


“Selaku Ahli Parlimen Tuaran Saya sudah sekian lama memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 supaya dilaksanakan dengan sepenuhnya.


“Sebab itu Tuaran mencadangkan agar Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) di Jabatan Perdana Menteri dinaiktaraf kepada sebuah Kementerian untuk menoktahkan jurang Pembangunan diantara Wilayah Semenanjung dan Wilayah Sabah serta Wilayah Sarawak,” katanya.


Commenti


bottom of page