top of page
  • nabalunews

Pelaksanaan SSPA boleh jadi contoh baik kepada sektor swasta

16 Ogos 2024


JOHOR BAHRU: Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), berkuat kuasa 1 Disember depan, boleh menjadi contoh baik kepada sektor swasta di negara ini, kata Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.


Antara lain, katanya, ia boleh menjadi contoh untuk sektor swasta menambah baik gaji pekerja dan perkhidmatan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan produktiviti negara.


Beliau berkata, kerajaan harus melaksanakan SSPA bukan saja untuk menaikkan gaji tetapi juga sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam yang melaksanakan tugas selama ini.


"Selain itu, kita harus melaksanakan (SSPA) kerana apabila difikirkan, kita juga cuba menggalakkan sektor korporat termasuk perusahaan kecil dan sederhana, melaksanakan (menambah baik gaji pekerja). Kita juga perlu memberi contoh yang baik," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu khas program audio siar, Jaguh Bumi, pada Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan, di sini, hari ini.


Terdahulu, Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 di Putrajaya, mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus bagi kumpulan pelaksana.


Bagi pengurusan tertinggi penjawat awam, pula, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji sebanyak tujuh peratus berdasarkan pelaksanaan SSPA.


Bagaimanapun, Anwar menjelaskan pelarasan itu akan dilaksanakan secara bertahap dengan fasa pertama bermula 1 Disember depan, diikuti fasa seterusnya bermula 1 Januari 2026.


Selepas 12 tahun terikat tanpa semakan, pelaksanaan SSPA menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) mulai 1 Disember depan menyaksikan kira-kira 1.6 juta penjawat awam mendapat pelarasan gaji baharu selepas kali terakhir disemak pada 2013.


Anwar yang juga Menteri Kewangan dipetik berkata, SSPA dirangka bukan sekadar untuk membawa pembaharuan dan peningkatan dalam pendapatan boleh guna yang akan dinikmati penjawat awam, tetapi juga merupakan satu sistem saraan yang berteraskan prestasi.


Perdana Menteri berkata, SSPA juga akan memberi manfaat kepada penjawat awam yang cemerlang dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, manakala yang gagal akan dikenakan tindakan sewajarnya.


Anwar turut berharap sektor swasta, terutama syarikat yang mencatat keuntungan tinggi, supaya meneliti semula skim gaji mereka bagi memberi imbuhan lebih munasabah kepada pekerja.


Dalam pada itu, Hanifah Hajar memaklumkan bahawa bawah kepimpinan Anwar, kerajaan telah melancarkan pelbagai inisiatif dalam usaha merancakkan Ekonomi MADANI, termasuk meneroka sektor ekonomi baharu dan berpotensi.


Beliau berkata, ia termasuk memperkasakan ekonomi bumiputera serta memfokus sektor yang tertumpu kepada pertumbuhan dan bernilai tinggi

Komentarai


bottom of page