top of page

Peletakan jawatan Muhyiddin perlu dibuat secara konsensus – Pemuda PN

  • nabalunews
  • 47 minutes ago
  • 1 min read

ree

30 Disember 2025


KUALA LUMPUR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) menegaskan sebarang keputusan melibatkan gabungan itu termasuk isu peletakan jawatan pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mesti dirujuk, dibincang dan diputuskan dalam Majlis Tertinggi PN.


Dalam kenyataan bersama hari ini, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Hilman Idham; Ketua Pemuda Gerakan, Lee Boon Shian; dan Ketua Pemuda Kebangsaan Parti India Progresif Malaysia (MIPP), Justin Prabakaran berkata langkah itu selaras dengan Fasal 13 Perlembagaan PN.


"Sebarang keputusan atau pendirian atas nama Perikatan Nasional juga bukan hak mutlak mana-mana parti komponen secara unilateral (sebelah pihak).


"Biarpun semua parti komponen boleh menyatakan pandangan, namun pendirian Perikatan Nasional harus diputuskan secara konsensus bersama semua parti-parti komponen," menurut kenyataan itu.


Dalam pada itu, kenyataan tiga sayap pemuda PN tersebut turut menggesa kepimpinan di semua peringkat gabungan tersebut untuk mengamalkan budaya politik yang lebih bijaksana dan beretika demi kepentingan rakyat.


Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, pagi tadi mengesahkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari ini.


Tindakan Muhyiddin itu turut disusuli peletakan jawatan Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahrudin Jamal, manakala Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Agung gabungan tersebut dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page