top of page

Pemandu mabuk sebabkan kematian, pembangkang desak kaji hukuman mati

  • nabalunews
  • 48 minutes ago
  • 1 min read

30 Mac 2026


KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengkaji semula pelaksanaan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.


Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata blok pembangkang memandang serius insiden tragis di Klang semalam yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal akibat tindakan pemandu di bawah pengaruh alkohol.


Menurutnya, kejadian berkenaan bukan sekadar kemalangan biasa, sebaliknya mencerminkan kecuaian melampau yang wajar diklasifikasikan sebagai jenayah berat terhadap masyarakat.


“Hukuman sedia ada masih gagal memberikan kesan pencegahan yang mencukupi.


“Insiden seumpama ini terus berulang, membuktikan bahawa pendekatan undang-undang ketika ini tidak lagi memadai untuk menangani isu pemanduan mabuk yang semakin membimbangkan.


“Sehubungan itu, blok pembangkang mendesak kerajaan agar mengambil langkah lebih tegas dengan mengkaji pelaksanaan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, cadangan mengkaji hukuman mati bukan semata-mata untuk menghukum tetapi sebagai mesej jelas bahawa nyawa manusia tidak boleh dipandang ringan dan sebarang tindakan yang membahayakan orang lain akan berdepan akibat paling berat.


Beliau menegaskan individu yang memilih untuk memandu dalam keadaan mabuk seharusnya dianggap mempunyai niat membunuh, kerana tindakannya secara nyata berisiko tinggi meragut nyawa orang lain.


“Kerajaan perlu segera meminda undang-undang sedia ada, termasuk memperketatkan penguatkuasaan serta memperluaskan kesedaran awam mengenai bahaya pemanduan di bawah pengaruh alkohol.


“Nyawa yang hilang tidak dapat diganti. Sudah tiba masanya tindakan lebih drastik diambil demi melindungi keselamatan rakyat dan memastikan keadilan ditegakkan,” katanya.


Semalam, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai dirempuh kereta dipandu individu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Raya Barat, Klang.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page