Pembaikan kekal cerun Jalan Tamparuli–Kiulu dilaksana di bawah RMK13
- nabalunews
- Jan 15
- 1 min read

15 Januari 2026
TAMPARULI: Kerja-kerja pembaikan cerun secara kekal di laluan Jalan Tamparuli–Kiulu (KM4.8) akan dilaksanakan menerusi projek yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai penyelesaian jangka masa panjang bagi menjamin keselamatan infrastruktur jalan berkenaan.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pelaksanaan pembaikan kekal itu penting bagi menangani masalah cerun secara menyeluruh dan berpanjangan.
Sebagai langkah segera penyelesaian jangka masa pendek pula, katanya, pihak perunding kini sedang menyediakan reka bentuk pembaikan untuk dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam tempoh dua minggu.

“Dalam masa yang sama, pihak konsesi akan melaksanakan pembaikan sementara termasuk mengubah aliran air dari culvert serta menambah baik laluan sementara bagi memastikan jalan tersebut lebih selamat digunakan oleh pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan laluan berkenaan bersama JKR Tuaran pada Rabu, susulan aduan serta kebimbangan penduduk setempat terhadap tahap keselamatan jalan tersebut.
Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, beliau akan terus memantau rapat perkembangan kerja-kerja pembaikan berkenaan serta memastikan setiap langkah susulan dilaksanakan mengikut perancangan yang ditetapkan.
Beliau menegaskan, aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap pelaksanaan projek infrastruktur, selain menzahirkan komitmen untuk memastikan penyelesaian yang berkesan demi kepentingan pengguna jalan raya dan penduduk setempat.


















Comments