Pembangkang sifatkan Kabinet Ismail Sabri sebagai “kabinet kitar semula”Pembangkang sifatkan Kabinet Ismail Sabri sebagai “kabinet kitar semula”
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pembangkang sifatkan Kabinet Ismail Sabri sebagai “kabinet kitar semula”



27 Ogos 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Pembangkang menyifatkan kabinet baharu lantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai "kabinet kitar semula".


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengumuman berkenaan kabinet baharu itu menghampakan rakyat kerana ianya hanya kitaran semula.


"Seperti yang diwarkan-warkan di media sosial secara gurauan, kabinet baharu itu seperti kabinet lama macam almari yang tidak ada perubahan," katanya menerusi live dalam media sosial Facebooknya petang tadi.


Beliau berkata negara kini menghadapi krisis akibat covid-19 yang lebih meruncing dan masalah ekonomi menekan rakyat terutamanya golongan bawahan.


"Bagaimanapun, langkah yang diambil itu hanya kitar semula menteri-menteri yang menunjukkan ketidakupayaan menangani masalah ini secara berkesan," katanya.


Menurut Anwar, prestasi kabinet lama dalam tempoh satu tahun setengah tidak menunjukkan prestasi membanggakan.


"Apa yang kita harapkan sekarang ialah satu perubahan tetapi ini tidak berlaku.


"Jadi kami sebagai pembangkang akan tetap secara lantang memantau, menyuarakan dan membantah sekiranya tidak ada program pelaksanaan yang lebih mantap dan berkesan untuk menangani masalah covid-19 dan membawa perubahan kepada hidup rakyat," katanya.


Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq juga kecewa dengan pengumuman kabinet baharu tersebut dan beliau menggelarkan kabinet tersebut sebagai 'kabinet gagal 2.0'.


"Inilah sebab utama kenapa UMNO kononnya ingin menumbangkan Kerajaan Gagal sebelum ini. Tapi, apabila UMNO ada kuasa melantik kabinet baru, benda sama juga yang dibuat.


"Saya melihat pengumuman Kabinet dari Perdana Menteri sebentar tadi sebagai satu wasted opportunity untuk melantik individu yang bagus, ada komitmen untuk membina negara seperti YB Azalina Othman, Dr Asyraf Wajdi, Saudara Shahril Hamdan, YB Ahmad Fadhli Shaari dan lain-lain," katanya mnerusi laman sosial Facebooknya semalam.


Beliau juga mempersoalkan pelantikan semula menteri dan pemimpin yang menunjukkan prestasi yang tidak baik dan mempunyai rekod buruk sebelum ini yang masih lagi jadi sebahagian dari kerajaan.


"Jadi kerajaan gagal sebelum ini hanya mengambil cuti lebih kurang 2 minggu sebelum kembali masuk bertugas," katanya.


Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin juga tidak bersetuju dengan senarai kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri dan menganggapnya sebagai 'kitar semula'.


"Kitar semula kabinet di rumah adalah benda yg baik, tapi mengitar semula ahli kabinet negara yang terbukti gagal bukan benda yang baik," katanya menerusi laman sosial Twitternya.


Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh juga senada dengan ahli pembangkang yang lain iaitu menurut beliau kabinet baharu adalah berdasarkan kompisisi yang lama #kerajaangagal yang sama.


"Ahli politik yang sama cuma bertukar pejabat di Putrajaya," katanya dalam laman sosial Twitternya.


Hannah berpendapat bahawa kabinet 'baharu' tersebut tidak mempunyai jurucakap yang boleh dipercayai bagi mewakili kanak-kanak.


Beliau juga mempersoalkan pengecualian individu seperti Azalina Othman dari kabinet dan mahukan Ismail Sabri melantik Azalina sebagai speaker (dewan rakyat) untuk tujuan semak dan imbang.


Turut bersetuju dengan pandangan Hannah Yeoh ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil iaitu beliau mengkritik pengecualian Azalina dari senarai kabinet yang diumumkan tengah hari tadi.


Terdahulu, Perdana Menteri, Ismail Sabri telah mengumumkan senarai kabinet baharu secara langsung tengah hari tadi. Bagaimanapun, pengumuman tersebut tidak mendapat sambutan yang baik dari rakyat Malaysia.




photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page