Pembangunan negara perlu berpaksi keadilan, kebajikan rakyat – Anwar
- nabalunews
- 27 minutes ago
- 1 min read

1 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Pembangunan negara tidak wajar diukur semata-mata berdasarkan pencapaian fizikal dengan bangunan tinggi, kemajuan infrastruktur serta kemodenan prasarana, sebaliknya perlu menyentuh kehidupan serta kebajikan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata setiap langkah pembangunan mesti berpaksikan keadilan dan keperluan masyarakat agar manfaat kemajuan dapat dinikmati semua lapisan rakyat.
“Segala usaha pembangunan mesti memastikan tiada kelompok yang tercicir daripada arus kemakmuran, agar hasil kemajuan dapat dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan perkara itu menerusi hantaran di media sosial sempena sambutan Ulang Tahun Wilayah Persekutuan hari ini.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata semangat ihsan, saling menghormati dan kebersamaan yang menjadi teras Kerajaan MADANI akan terus diperkukuh demi menjamin keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan.
Dalam hantaran itu, beliau turut mengucapkan Selamat Menyambut Ulang Tahun Wilayah Persekutuan kepada seluruh warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.














