top of page
  • nabalunews

Pembangunan perumahan baharu perlu ada blok MADANI

6 Ogos 2024


KUALA LUMPUR : Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarahkan supaya menyediakan blok rumah MADANI bagi setiap projek pembangunan perumahan baharu untuk golongan B40 dan M40 sebagai syarat bagi permohonan kelulusan dipercepatkan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan boleh mempercepatkan proses kelulusan pembangunan perumahan itu, namun ia perlu dibangunkan sekali dengan sekurang-kurangnya satu atau dua blok rumah MADANI.


Menurut laporan Berita Harian, arahan itu susulan permintaan untuk membeli kediaman di sekitar ibu kota adalah sangat tinggi sehingga mencecah puluhan ribu permohonan.


"Setiap perumahan baharu, saya arahkan Jabatan Wilayah Persekutuan dan dewan bandaraya (DBKL) jika ada tanah, kita beri kelulusan dan boleh bagi kelonggaran dan percepatkannya.


"Tetapi syaratnya mesti ada satu atau dua blok rumah MADANI untuk rakyat memanfaatkannya," katanya berucap pada pelancaran Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI (PPAM MADANI), Bandar Sri Permaisuri, di sini? hari ini.



Pada majlis itu, Perdana Menteri menyempurnakan penyerahan surat tawaran dan kunci rumah kepada 10 pembeli PPAM.


Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, jentera kerajaan perlu dikerah untuk menyelesaikan isu perumahan yang sangat rumit.


Atas dasar itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menyediakan 3,000 hingga 4,000 unit perumahan dalam satu-satu tempat.


"Orang kaya buatlah rumah banyak manapun, berapa harga puluh juta pun saya tidak peduli, ...tetapi rakyat yang lain harus dibantu.


"Di Kuala Lumpur puluhan ribu tunggu dapat rumah, kita mewarisi senarai 60,000 yang menunggu untuk dapat rumah, kemudian kita disuruh selesaikan dalam tempoh setahun, tidak boleh," katanya.


Sementara itu, berdasarkan siaran media PPAM, seramai 843 penjawat awam daripada pelbagai skim dan gred perkhidmatan ditawarkan untuk memiliki unit perumahan di Piksel City Sentral, Nikka City Central dan Amansuri.


Sementara itu, Mohd Zuki dalam ucapannya berkata, pihaknya mengakui masih ramai dalam kalangan penjawat awam, khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana sedang bergelut dengan kenaikan harga rumah.


Ini kerana katanya, maklumat daripada Laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) melaporkan purata kadar kenaikan harga rumah antara 2019 hingga 2023 khususnya di bandar utama di seluruh negara adalah agak tinggi iaitu sekitar 15 hingga 28 peratus.


"Sehubungan itu, daripada aspek kemampuan kewangan, saya akui masih ramai dalam kalangan penjawat awam, khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana sedang bergelut dengan kenaikan harga rumah.


"Cabaran seperti ini menekan mereka untuk membeli rumah pada harga mampu milik yang sepadan dengan pendapatan bulanan masing-masing.


"Maka, penyediaan rumah mampu milik termasuklah PPAM amat bermakna kepada kumpulan rakyat khasnya penjawat awam yang berpendapatan rendah dan sederhana," katanya.


Mohd Zuki berkata, hingga 31 Julai lalu, sebanyak 211 projek dengan 33,133 unit rumah PPAM sudah siap dibina, manakala terdapat 38 projek dengan 9,029 unit sedang dalam pembinaan. Sebanyak 33 projek dengan 12,124 unit pula sedang dalam peringkat perancangan.


Permintaan untuk membeli kediaman di sekitar ibu negara adalah sangat tinggi dalam kalangan penjawat awam iaitu sebanyak 55,014 berbanding hanya 7,038 unit rumah PPAM yang mampu ditawarkan.


Hingga kini sebanyak 28 projek baharu PPAM MADANI membabitkan 3,838 rumah diluluskan di pelbagai lokasi seluruh negara dengan jumlah insentif MADANI PPAM (iM-PPAM) berjumlah RM234 juta.


Pada tahun depan, disasarkan penyediaan kira-kira 4,000 rumah PPAM lagi di seluruh negara manakala hingga 31 Julai lalu, sebanyak 33,133 unit rumah PPAM disiapkan di seluruh negara.


Melalui inisiatif PPAM, seramai 35,322 penjawat awam menandatangani Perjanjian Jual Beli (PJB) rumah PPAM dan daripada jumlah itu, seramai 94 peratus iaitu 33,122 adalah penjawat awam berpendapatan di bawah RM6,000 sebulan.

Comentarios


bottom of page