top of page

Pembelian petrol, diesel selain untuk tangki asal kenderaan perlu permit khas – KPDN

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 2 min read

25 Mac 2026


PUTRAJAYA: Pembelian petrol dan diesel di stesen minyak untuk kegunaan selain tangki asal kenderaan bagi tujuan persendirian hanya dibenarkan melalui Permit Khas di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB)1961.


Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, langkah itu bagi mengelakkan barang kawalan dan bersubsidi diselewang oleh pihak tidak bertanggungjawab.


"Pembelian menggunakan Permit Khas ini adalah untuk kuantiti 20 liter ke atas sahaja dan berdasarkan kepada harga pam semasa di stesen minyak.


"Pihak yang diberi kebenaran membeli petrol dan diesel melalui Permit Khas ini boleh menggunakan tong drum, plastik atau bekas yang selamat dan bersesuaian mengikut kuantiti, alamat stesen minyak, tempoh dan kekerapan belian yang telah diluluskan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.


Menurut beliau, permohonan permit boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem Permit Bekalan menerusi portal https://spb.kpdn.gov.my, dan ia adalah percuma serta terbuka kepada pihak berkelayakan.


Jelasnya, terdapat 10 kategori yang layak memohon Permit Khas itu iaitu forklift, pengangkutan air, penduduk di kawasan pendalaman dan pulau, pengusaha industri makanan, rekreasi air, pertanian dan penternakan, bantuan kecemasan, penyelenggaraan, pelancongan dan pembinaan berskala kecil.


"Tiada pihak selain pemegang Permit Khas dibenarkan untuk membeli minyak di dalam tong di stesen minyak kecuali untuk kes kecemasan sahaja dan kuantiti dibenarkan adalah di bawah 20 liter sahaja," katanya.


Dalam pada itu, Azman berkata pihaknya mengambil maklum mengenai isu tular berhubung pengisian petrol ke dalam tong yang berlaku baru-baru ini


Ujarnya, di bawah peruntukan AKB 1961, stesen minyak hanya dibenarkan menjual petrol dan diesel kepada tangki asal kenderaan atau yang diluluskan agensi berkaitan serta mana-mana pihak yang telah memperoleh kelulusan Permit Khas daripada KPDN.


Orang ramai boleh menyalurkan aduan dan maklumat melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page