Pemberian Khas kepada Sabah, Saeawak dinaikkan ke RM300 juta setahun - Anwar
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pemberian Khas kepada Sabah, Sarawak dinaikkan ke RM300 juta setahun - Anwar


Anwar (tengah) bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor (kiri) dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (dua kiri) semasa sidang media.

20 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUCHING: Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak masing-masing akan dinaikkan daripada RM16 juta kepada RM300 juta setahun, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata, ia merupakan langkah permulaan untuk menyegerakan rundingan formula baharu Pemberian Khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.


Tambahnya, ia juga wajar kerana melihat kedudukan Sabah dan Sarawak yang mundur sejak pembentukan Malaysia 60 tahun lalu.


"Sebagai Menteri Kewangan, saya sedar tentunya jumlah itu tidak munasabah dan pada peringkat awal ini kita naikkan RM300 juta sebagai satu sumbangan.


“Tetapi tertakluk kepada formula, tidak terikat pada RM300 juta itu sahaja kerana kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.


Sementara itu, Anwar berkata pindaan status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah harus dirujuk kepada Raja-Raja Melayu sebelum dibawa ke Parlimen.


"Dalam MA63 yang dimeterai ketika penubuhan Malaysia, negeri-negeri Semenanjung adalah satu entiti wilayah, Sabah satu entiti dan Sarawak satu entiti.


"Pindaan istilah itu harus dirujuk kepada Raja-Raja Melayu dan saya hanya membuat perbincangan awal dengan Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah)," katanya.

bottom of page