top of page

Pembinaan rumah ibadat perlu ikut undang-undang, jangan politikkan isu agama – Agong

  • nabalunews
  • Feb 11
  • 2 min read

11 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Semua pihak diingatkan supaya tidak mempolitikkan sebarang isu berkaitan agama kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan serta kestabilan negara yang berbilang kaum.


Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, Malaysia dibina atas asas keharmonian dan kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi serta pematuhan terhadap undang-undang.


Justeru, baginda mengingatkan bahawa setiap rakyat bertanggungjawab memelihara nilai-nilai berkenaan demi kepentingan bersama serta mematuhi undang-undang yang termaktub termasuk perkara berkaitan penggunaan tanah dan pembinaan rumah ibadat.


Seri Paduka Baginda bertitah isu pembinaan kuil hendaklah ditangani mengikut peraturan dan saluran undang-undang yang sama seperti pembinaan masjid, gereja dan tokong.


Sultan Ibrahim mengimbas kembali pengalaman peribadi pada Januari 2018 apabila baginda bertindak sebagai pendamai dalam menyelesaikan isu perobohan sebuah kuil di Johor secara baik, berhemah dan berlandaskan undang-undang.


"Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini serta menjaga ketenteraman awam.


“Agama Islam menekankan prinsip saling hormat-menghormati antara sesama manusia dan Islam tidak menghalang penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan serta ibadat masing-masing.


"Penganut agama lain juga wajar menunjukkan sikap hormat terhadap Islam. Pendekatan saling menghormati ini penting bagi mengelakkan salah faham, ketegangan dan provokasi, sekali gus memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan budaya.


"Oleh demikian, apabila timbul sebarang isu berkaitan pembinaan kuil atau rumah ibadat, semua pihak hendaklah memahami serta menghormati undang-undang negara, di samping menyelesaikan perbezaan menerusi saluran yang sah demi mengekalkan keharmonian, toleransi dan semangat muhibah," titah Seri Paduka.


Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di Istana Negara pada hari ini.


Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan semua pihak agar mengelakkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh menimbulkan salah faham, perpecahan serta menggugat keamanan negara.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page