- nabalunews
Pembuli siber perlu dihukum lebih berat - Nizam
30 Julai 2024
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah mencadangkan agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memperkenalkan hukuman lebih berat bagi kesalahan yang berkaitan dengan buli siber atau 'cyberbullying' mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia.
Katanya dalam era digital hari ini, platform media sosial telah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat dan pembuli siber harus dihalang daripada merosakkan keharmonian alam maya.
“Kita semua perlu bangkit menentang segala bentuk buli dan singkirkan orang toksik daripada merosakkan komuniti alam maya.
“Jangan biarkan pembuli siber berleluasa, menjejaskan individu dari semua peringkat umur dan latar belakang termasuk menfitnah pemimpin, bersikap mengganggu, mengancam, menghina dan merendahkan seseorang.
"Tidak seperti buli tradisional, buli siber berbahaya kerana boleh berlaku 24 jam sehari, tujuh hari seminggu selain tiada sempadan masa dan tempat,” kata Nizam.
Beliau berkata, pembuli siber berani bertindak demikian kerana berselindung di sebalik nama samaran dan akaun palsu dan dengan sewenang-wenangnya membuat komen jelik, ugutan dan hinaan.
Nizam menambah, tindakan tersebut kemudian memberi kesan emosi dan psikologi yang teruk ke atas mangsa sehingga boleh menyebabkan tekanan dan kemurungan serta dalam kes yang ekstrim, boleh membawa kepada mencederakan diri dan membunuh diri.
Oleh itu, katanya semua orang harus tahu sempadan serta had dalam membenarkan diri mereka di buli di alam siber selain bijak menjauhi atau menyekat golongan pembuli berkenaan.
Katanya, kebanyakan platform media sosial menawarkan alat untuk menyekat pembuli siber selain boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti MCMC.
Nizam berkata demikian selepas mengetuai rombongan Biro Penerangan PGRS mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah MCMC Wilayah Sabah, Ratnawaty Talib di Pejabat SKMM Sabah di sini, hari ini.
Kunjungan hormat ini bertujuan memperkukuhkan hubungan di antara MCMC dan Biro Penerangan Gagasan Rakyat Sabah selain membincangkan isu-isu semasa.
Turut hadir, Pegawai Kerja Biro PGRS Sabah, Halil Rufili, Ketua Wanita PGRS Likas, Halizah Din, Ketua Penerangan Pemuda PGRS Sabah, Barhul Sahibu dan ahli jawatankuasa Biro Penerangan Julia Abt.
27 Julai lalu, MCMC dalam satu kenyataan berkata semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula 1 Januari tahun depan.
Menurut MCMC kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan boleh diambil di bawah Akta 588.
Keputusan itu adalah selaras keputusan Jemaah Menteri bahawa dua perkhidmatan itu mesti mematuhi undang-undang Malaysia demi memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Sebelum ini, platform-platform terbabit telah dikecualikan daripada keperluan pelesenan berdasarkan Perintah Komunikasi dan Multimedia (Pelesenan) (Pengecualian) 2000.
Menurut kenyataan itu kerangka kawal selia baharu tersebut hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan dan tidak melibatkan pengguna.
Menurut MCMC, langkah terbaharu itu bakal mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat dan pengalaman lebih baik untuk pengguna, terutama buat kanak-kanak dan seisi keluarga.
Comments