Pemuda PH, MUDA buat laporan polis minta percepat siasatan ke atas isu Pandora PapersPemuda PH, MUDA buat laporan polis minta percepat siasatan ke atas isu Pandora Papers
top of page
  • Writer's pictureIlona Andrew

Pemuda PH, MUDA buat laporan polis minta percepat siasatan ke atas isu Pandora Papers


Howard (tengah) bercakap dalam satu sidang media di Pusat Khidmat ADUN Luyang, hari ini.

14 Okt 2021

Oleh Ilona Andrew


KOTA KINABALU: Pemuda Pakatan Harapan (PH) serta rakan-rakan kepimpinan sayap Pemuda dan parti-parti seperjuangannya telah membuat laporan polis supaya mempercepatkan siasatan secara telus dan teliti ke atas dakwaan Pandora Papers yang mendedahkan pelbagai aktiviti kewangan luar pesisir dalam usaha menyembunyikan aset yang berjumlah berbilion-bilion ringgit.


Mereka menjelaskan bahawa laporan yang dibuat ini adalah satu seruan kepada pihak-pihak berkuasa untuk melaksanakan amanah, tanggungjawab dan menyucikan kembali nama Malaysia daripada salah laku aliran wang haram.


“Kami menganggap bahawa ia adalah suatu pendedahan yang telah pun mencemarkan integriti negara dan ia tidak boleh dipandang ringan oleh pihak-pihak berkuasa. Implikasinya adalah cukup serius dan wajib diambil peduli kerana kita tidak boleh terima bahawa Malaysia kini bergelumang dengan pemanipulasian harta negara untuk kepentingan peribadi.


“Individu-individu yang disenaraikan di dalam ‘Pandora Papers’ yang terdiri daripada tokoh-tokoh politik, ahli-ahli keluarga mereka, dan taikun-taikun korporat telah menconteng arang kepada wajah-wajah seluruh rakyat Malaysia atas tindakan yang hina ini, lalu meludah ke wajah kedaulatan negara,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama, hari ini.


Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Ketua Pemuda PH Malaysia, Howard Lee Chuan How; Ketua Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang; Ketua DAPSY Sabah, Phoong Jin Zhe; Ketua Pemuda Amanah Sabah, Rendy Ismail; dan Pengerusi MUDA Sabah Shahrizal Denci.


Mereka turut mengadakan satu sidang media di Pusat Khidmat ADUN Luyang setelah selesai urusan laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Polis, tengahari tadi.

Pendedahan Pandora Papers seperti yang telah dilaporkan oleh Global Financial Integrity (GFI) mendapati terdapat pengaliran wang Malaysia ke luar negara secara haram yang berjumlah RM1,800 billion dari tahun 2005 sehingga 2015.


Pendedahan itu turut mendapati beratus ahli politik Malaysia yang terlibat dalam isu ini, termasuk Menteri Kewangan Tengku Zafrul Zainal Abidin, Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez Musa, dan Presiden Umno Datuk Ahmad Zahid Hamidi.


“Apabila terbongkar segalanya, barulah kita sedar betapa jijiknya sesetengah pemimpin kita sesuka hati menggunakan pelbagai kaedah untuk melindungi aset mereka dengan menggunakan yayasan dan memperalatkan instrumen-instrumen luar pesisir untuk nafsu temahak mereka sendiri,” kata mereka.


Tambah mereka lagi, pendedahan International Consortium of Investigative Journalism (ICIJ) itu adalah bukti dan petunjuk kepada institusi keadilan Malaysia untuk menyiasat dalang-dalang yang terlibat dengan aliran wang dan harta secara haram ke luar negara.


“Sungguh memalukan, ini juga adalah kali pertama Malaysia telah dimasukkan ke dalam Senarai Kelabu European Union (EU) sebagai Negara ‘Non-Cooperative Nations’ bagi pengelakan cukai pada 7 Oktober 2021.


“Penyenaraian ini memberi makna bahawa Malaysia terlibat dengan penipuan cukai, pengubahan wang haram (money laundering), pengelakkan cukai, dan menyembunyikan sumber kekayaan yang diperolehi secara haram.


“Ketika para petugas kesihatan negara kini sedang bertungkus-lumus mahu melandaikan lengkung COVID-19, amat dukacita sekali apabila kita dikejutkan dengan berita sebegini. Ketika ramai warganegara kita sedang bertarung nyawa untuk hidup dalam keadaan ekonomi yang menekan, alangkah gugurnya semangat kita apabila kita didedahkan dengan kekayaan ‘luar biasa’ yang amat mencurigakan begini,” ujar mereka.


Dalam pada itu, mereka menggesa agar Parlimen, sama ada Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara, selaku dewan perhimpunan rakyat tertinggi segera membahaskan pendedahan Pandora Papers dan isu pengaliran wang ke luar pesisir.


“Kami juga menyeru kepada mereka yang didedahkan mempunyai akaun luar pesisir oleh Pandora Papers untuk menyerah diri kepada pihak polis bagi membantu pihak berkuasa membersihkan nama mereka sekiranya tidak melakukan sebarang aktiviti haram yang melanggar undang-undang dan mencemarkan kedaulatan negara.”


Cadangan agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan turut diutarakan bagi menyiasat impak dan implikasi terhadap rakyat ekoran isu ini.


bottom of page