Pemuda PH Sabah perkasa kerjasama dan gerakan hadapi PRN
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pemuda PH Sabah perkasa kerjasama dan gerakan hadapi PRN

8 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pemuda Pakatan Harapan  (PH) Sabah komited memperkukuhkan kerjasama dan memperkasakan gerakan Pemuda PH Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang boleh diadakan pada bila-bila masa.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh semua ketua pemuda PH Sabah berkata, semua jentera pergerakan pemuda masing-masing akan terlibat dalam memainkan peranan bagi memastikan perjuangan PH Sabah terus relevan di hati rakyat.


Katanya, pergerakan pemuda parti komponen akan menjadi penyampai mesej atau informasi berhubung usaha, dasar-dasar dan polisi-polisi Kerajaan  Madani.


“Dalam masa sama, Pemuda PH Sabah juga menolak tindakan mengeluarkan kenyataan palsu atau fitnah yang sengaja direka oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.


“Hasil perbincangan mesyuarat Pemuda PH Sabah yang diadakan hari ini turut menyentuh mengenai pendirian menolak keras fahaman politik ekstrim yang berkaitan isu 3R,” katanya.


Kenyataan itu turut menyuarakan tuntutan agar pihak berkuasa bertindak tegas, pantas dan cekap dalam perkara itu kerana ia dibimbangi boleh mencetuskan huru hara sekiranya tidak ditangani dengan sebaiknya.


“Perbincangan turut menyentuh mengenai isu kos sara hidup yang perlu dijadikan salah satu isu keutamaan Kerajaan Madani.


“Pemuda PH Sabah juga menuntut agar hak-hak Sabah terus dihormati dan dilaksanakan terutamanya melibatkan isu 40 peratus hasil cukai.


“Meja bulat perbincangan turut bersama bersetuju agar tindakan persempadanan semula Parlimen Sabah dan Sarawak dilaksanakan secepat mungkin dan kami menuntut komposisi 1/3 dalam Dewan Rakyat,” katanya.


Sehubungan itu, pimpinan Pemuda PH Sabah juga menegaskan akan memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus menerajui Kerajaan Perpaduan.


“Perkara itu diputuskan hasil perbincangan Pemuda PH Sabah,” katanya.

bottom of page