top of page
nabalunews

Pemuda PH Sabah sokong Undi 18 tapi Kerajaan harus elakkan warganegara palsu



9 September 2021

1. Kami menyokong penuh dan menyambut baik Keputusan Mahkamah Tinggi Kuching untuk memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi18 sebelum 31 Disember tahun ini. Ia merupakan sebuah keputusan yang tepat sekali gus menghormati Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi Undi 18 dan pendaftaran automatik yang mendapat sokongan kesemua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Julai 2019.

2. Walau bagaimanapun, kami ingin menyatakan pendirian tegas bahawa pendaftaran itu perlu melalui satu mekanisme telus bagi memastikan pendaftaran secara automatik ini tidak melibatkan mereka yang telah mendapatkan kad pengenalan secara tidak sah atau rasuah. Kita tahu dan sememangnya sudah terbukti melalui Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bahawa terdapat skandal pengeluaran kad pengenalan melalui penyelewengan dan salah guna kuasa di negeri Sabah.

3. Sesungguhnya, adalah menjadi satu kebanggaan bagi seluruh anak muda di Malaysia apabila keputusan mahkamah tinggi pada 3 September lalu telah berpihak kepada pelaksanaan Undi18. Namun pada masa yang sama, kita tidak mahu mereka yang mendapatkan Kad Pengenalan dengan cara yang tidak betul akan mengambil kesempatan ini untuk terus berleluasa sekali gus memberi ancaman terhadap kedaulatan negara.

4. Kami ingin memetik sebuah laporan akhbar nasional bertajuk ‘3 penjawat awam ditahan bawa PATI guna kenderaan kerajaan’ bertarikh 21 Julai 2021. Kejadian ini berlaku di Tawau, yang mana tiga penjawat awam ini membawa 15 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melepasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Kunak-Tawau sebelum ditahan di kawasan Balung, Jalan Apas daerah yang sama. Yang ditahan cuma mereka bertiga, tetapi penumpang PATI berjaya lari. Ini sesuatu yang membimbangkan dan perkara ini sudah pernah berlaku sebelum ini.

5. Kami juga ingin mengajak semua pihak mengimbas semula kes pembunuhan kejam melibatkan seorang pengawal keselamatan menembak mati seorang pegawai bank di Subang Jaya pada 24 Oktober 2013. Sudah pasti ramai yang masih mengingati kes ini. Wanita ini meninggal dunia serta merta di tempat kejadian, menyebabkan dua orang anak dan suaminya kehilangan insan tersayang. Dan kita tahu setelah disiasat, pengawal keselamatan ini rupa-rupanya menggunakan kad pengenalan palsu dari Sabah. Lihatlah betapa parahnya akibat daripada pemberian kad pengenalan secara salah guna kuasa dan tidak sah.

6. Sehubungan itu kami mahu agar kad pengenalan atau MyKad khususnya di Sabah harus ditarik semula, dikemaskini dan kemudiannya diberikan kepada mereka yang benar-benar layak. Perkara ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan. Buktinya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah beberapa kali mengemaskini kad pengenalan di negara ini, iaitu sekurang-kurangnya dalam sekitar empat kali. Gunakan konsep yang sama, dengan tapisan yang lebih ketat. Sekiranya ia tidak dapat dilakukan serentak di seluruh negara, mulakan di Sabah sebagai negeri perintis memandangkan kita sangat sangat terkesan di sini.

7. Akhir kata, kami sekali lagi menyatakan sokongan terhadap penuh pelaksanaan Undi18. Walaubagaimanapun, pelaksanaan pendaftaran automatik harus ditunda dan pendaftaran manual perlu digunakan sebagai alternetif sementara.



Felix Joseph Saang

(Ketua Pemuda UPKO Malaysia)


YB Phoong Jin Zhe

(Ketua Pemuda Pakatan Harapan Sabah)

Comments


bottom of page