PEMUDA UMNO SABAH KESAL KERAJAAN PERSEKUTUAN GAGAL TANGANI COVIDPEMUDA UMNO SABAH KESAL KERAJAAN PERSEKUTUAN GAGAL TANGANI COVID
top of page
  • Wartawan Nabalu News

PEMUDA UMNO SABAH KESAL KERAJAAN PERSEKUTUAN GAGAL TANGANI COVID


Abdul Aziz Julkarnain

22 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pemuda UMNO Sabah kesal dengan kegagalan kerajaan persekutuan dalam menangani Covid-19 terutamanya program imunisasi yang perlahan di negeri ini dan cara pengurusan ekonomi yang sudah mula merisaukan rakyat.


Ketua Pemuda UMNO Sabah Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, walaupun permintaan kerajaan untuk melaksanakan proklamasi darurat telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) namun kes-kes positif Covid-19 terus meningkat dan bertambah buruk.


“Tentunya kegagalan ini akan menjejaskan prospek pemulihan ekonomi negara khususnya di Sabah.


“Apa yang lebih menghairankan apabila Pelan Pemulihan Negara (PMN) hanya diperkenalkan apabila tempoh darurat hampir berakhir. Ini mengundang banyak persoalan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Abdul Aziz berkata, Pemuda UMNO Sabah turut menyanjung tinggi kebijaksanaan YDPA dan DYMM Raja-Raja Pemerintah apabila menitahkan agar sidang Parlimen diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dalam menangani Covid-19.


Justeru katanya, Pemuda UMNO Sabah bersolidariti dengan kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dato' Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mendesak agar Kerajaan segera memanggil Sidang Parlimen dalam masa 14 hari bagi mentaati dan menghormati titah pandangan dan pendirian YDPA dan DYMM Raja-Raja Pemerintah.


“Kegagalan melaksanakan titah tersebut boleh dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati YDPA sebagai Ketua Negara,” tegas beliau.


Katanya lagi, Pemuda UMNO Sabah juga akan mendesak kepimpinan tertinggi UMNO untuk membuat keputusan tegas sekiranya kerajaan tidak mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh terdekat.


Selain itu katanya, Pemuda UMNO Sabah juga mendesak kerajaan GRS untuk mengadakan sidang DUN dengan kadar segera bagi membolehkan tuntutan rakyat yang sedang dalam kesempitan hidup ketika ini dapat diperbahaskan dan diangkat secara rasmi oleh wakil-wakil mereka yang dipilih dalam Pilihanraya Negeri ke-16.


“Terutamanya perbahasan mengenai program imunisasi yang terendah dalam negara berbanding jumlah penduduk negeri.


“Desakan ini wajar agar prinsip semak dan imbang di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun Negeri dapat dilakukan, seterusnya usaha memastikan tuntutan rakyat dapat dipenuhi di kala waktu sukar dan mencabar ini,” katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page